Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Sektor pembinaan dijangka mencatatkan pertumbuhan sehingga lapan peratus tahun ini kepada RM170 bilion dipacu oleh pelbagai projek mega yang dilaksanakan ketika ini.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia PETRONAS (RAPID) Pengerang, Johor; Projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang dan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak akan terus memacu permintaan dalam sektor berkenaan.

“Pertumbuhan sektor pembinaan yang dicatatkan pada 2015 sekitar 8.2 peratus atau RM140 bilion dan pada tahun lalu, ia merosot sedikit kepada 7.4 peratus atau RM166 bilion,” katanya pada sidang media selepas perasmian Minggu Pembinaan Malaysia (CIW) 2017 di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadilah Yusof.

Beliau berkata, industri pembinaan mencapai pertumbuhan purata yang mengagumkan sebanyak 11 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10, mengatasi prestasi sektor ekonomi lain di negara ini.

“Dari segi jumlah pembinaan, nilainya meningkat daripada RM140 bilion membabitkan 7,455 projek pada 2015 dan RM166.4 bilion bagi 6,305 projek pada 2016.

“Hanya 29.1 peratus atau RM48.5 juta daripada projek pada tahun lalu direkodkan oleh sektor awam manakala 70.9 peratus atau RM117.9 bilion lagi datang daripada sektor swasta,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan tahun lalu bagi industri itu banyak didorong oleh projek infrastruktur dengan 49.7 peratus atau RM82.7 bilion daripada jumlah keseluruhan.

“Penyumbang kedua tertinggi adalah projek kediaman yang menyumbang 23 peratus (RM38.3 bilion) diikuti pembinaan bukan kediaman kepada 22.5 peratus (RM37.4 bilion),” katanya.

Sementara itu, Fadilah berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan kod amalan standard Malaysia untuk penggunaan kemudahan sementara pekerja tapak pembinaan.

Ia dijangka dimasukkan dalam akta baru yang akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia tahun depan.

Beliau berkata, pengenalan standard itu sejajar dengan amalan antarabangsa yang sudah diamalkan syarikat pembinaan besar di sini dan kerajaan akan melihat pemain pembinaan kecil dan sederhana.

“Kami akan terus membabitkan diri dengan peserta industri bagi memastikan perkara ini tidak akan menjadi beban. Antara cadangan, syarikat pembinaan kecil dan sederhana perlu mempunyai kemudahan untuk pekerja menguruskan kos,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 3:23 AM