NURHALIM
NURHALIM
BERNAMA

Kuching: Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC), menawarkan bantuan kepada usahawan tempatan bagi mengembangkan perniagaan mereka dengan menyediakan rakan kongsi yang tepat dan menyediakan bantuan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nurhalim Yunus berkata, melalui pembabitan dengan usahawan, penyelidik, ahli akademik dan agensi kerajaan, pihaknya berusaha keras memupuk usahawan meningkatkan keupayaan mereka dari segi inovasi teknologi.

“Ia tidak semestinya merujuk kepada teknologi tinggi atau canggih tetapi usahawan mesti mempunyai penyelesaian dalam mengenal pasti teknologi yang sesuai dengan persekitaran semasa bagi mendapatkan hasil optimum untuk mereka berkembang,” katanya.

Menurutnya, untuk kekal kompetitif dalam pasaran global, Malaysia perlu mempunyai sektor industri kecil dan sederhana (IKS) yang cekap.

“Itulah apa yang kami cuba lakukan melalui siri jelajah dengan pihak berminat. Program ini adalah satu daripada enam siri ceramah di seluruh negara tahun ini,” katanya pada majlis penutup Program Road2Growth, semalam.

Program Road 2 Funding dijenamakan semula sebagai Road2Growth pada awal tahun ini kerana MTDC melihat peranannya bukan saja menyediakan dana, malah menawarkan peluang lebih luas kepada usahawan teknologi untuk mengembangkan perniagaan kepada spektrum penuh perkhidmatannya.

Beliau berkata, walaupun MTDC kini menawarkan enam dana bagi membantu syarikat dan usahawan di pelbagai peringkat perniagaan, namun bantuan kewangan bukan satu-satunya penyelesaian kepada cabaran perniagaan.

Berikutan itu, menurutnya, MTDC menawarkan perangkaian lebih meluas kepada usahawan termasuk dengan universiti dan penyelidik.

“Jika anda mempunyai wawasan dan bekerja keras untuk mencapainya, dengan rakan kongsi yang tepat, anda akan berubah. Contohnya daripada hanya sebagai subkontraktor kepada seseorang yang membangunkan produk sendiri.

“Kami bersedia membantu melalui teknologi dengan menggunakan sepenuhnya teknologi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 4:20 AM