MARIAMAH (dua dari kiri) berbual dengan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah, yang menyertai program Road2Growth2019 di Hotel The Light, Seberang Jaya. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
MARIAMAH (dua dari kiri) berbual dengan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah, yang menyertai program Road2Growth2019 di Hotel The Light, Seberang Jaya. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


SEMINAR Road2Growth2019 diadakan dalam usaha menarik lebih ramai peserta terdiri daripada graduan menyertai bidang keusahawanan.

Ia selaras dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan muda khususnya dalam mengkomersialkan bidang inovasi dan teknologi.

Pengarah Bahagian Bimbingan Inkubator, Pengkomersilan dan Keusahawanan (NICE), Mariamah Daud berkata, perkembangan pembangunan dan penyelidikan dijalankan institusi berkenaan membantu mereka dalam memperkembangkan inovasi dan teknologi menerusi beberapa modul latihan diperkenalkan.

“Untuk berjaya dalam bidang ini memerlukan asas pengurusan, pembangunan dan latihan yang baik, bukan sahaja ditentukan dana semata-mata dan mentaliti itulah yang kami mahu ubah dalam kalangan usahawan.

“Kini sudah banyak institusi kewangan boleh memberi pinjaman, tetapi tidak banyak sumber mampu memberi bimbingan secara percuma dan diharap usahawan dapat mengambil peluang ini dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan seminar Road2Growth2019 di Seberang Jaya, semalam, yang dihadiri kira-kira 200 usahawan termasuk graduan, penyelidik, pensyarah dan wakil syarikat dari wilayah utara.

Seminar dijalankan di bawah Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) itu mendedahkan peserta dengan enam mini program ‘Techno Challenge Hunt’, ‘Technology-based Product Pitching’, ‘Business Accelerator Workshop’, bengkel pemindahan teknologi dan pengkomersialan, Bengkel 14.0 dan temuduga kerja.

Dalam perkembangan lanjut, Mariamah berkata, NICE berhasrat mengukuhkan kerjasama berterusan dengan institusi menyertai seminar berkenaan dan tidak terhad sepanjang seminar sahaja.

Katanya, sehingga kini Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus bekerjasama dengan NICE dan MTDC bagi meningkatkan pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan inovasi mereka.

“Bagi tahun ini, empat lagi institusi pengajian sudah menyertai kami menjadikan jumlahnya sebanyak 10 institusi pengajian awam dan swasta, membabitkan sehingga 160 graduan, pensyarah dan penyelidik.

“Pada penganjuran akan datang, kami akan menambahbaik dan membangunkan modul lain yang sesuai dengan perkembangan terkini keusahawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:36 AM