NORHALIM Yunus. FOTO Rohanis Shukri
NORHALIM Yunus. FOTO Rohanis Shukri

ZON Perdagangan Pintar (STZ) Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang baru dilancarkan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menubuhkan Biz Technology Solutions (BizLab).

Rakan-rakan kongsi itu akan membangunkan acara bersaiz kecil dan sederhana baharu berkaitan dengan Industri 4.0 menerusi BizLab yang dilancarkan di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata, BizLab adalah program pertama diusahakan secara kerjasama antara MTDC dan MITEC.

“Ini menjadi peluang bagi MTDC untuk mempamerkan penyelesaian dan teknologi dibangunkan tempatan oleh syarikat daripada ekosistem MTDC dan Centre of 9 Pillars (Co9P).

“Dengan perkongsian ini, platform STZ menyediakan ruang bagi kami untuk mempamerkan penyedia teknologi tempatan bagi potensi kerjasama dengan rakan kongsi industri tempatan selain menyediakan ruang bagi perangkaian dalam kalangan usahawan tekno,” katanya sempena pelancaran BizLab itu di sini.

Norhalim berkata MTDC ketika ini menampilkan 14 syarikat teknologi tempatan, mempamerkan kepakaran mereka antara lainnya dalam perubatan, pembuatan, perkhidmatan dan perkomputeran awan.

STZ ialah hab perniagaan di MITEC yang bertujuan membangunkan acara perniagaan baharu yang berpotensi, kemudahan yang termasuk manfaat bagi perniagaan untuk berkumpul serta membantu mendapatkan potensi petunjuk baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitec Gunther Beissel berkata, inisiatif STZ diilhamkan berasaskan kepada keperluan industri dan pasaran.

“Kami berharap dapat menggunakan keupayaan kami menganjurkan acara perniagaan sebagai satu cara untuk memudahkan dan menjana petunjuk baharu yang membantu mewujudkan peluang bagi perniagaan, sekali gus membawa kepada lebih banyak perdagangan dan pelaburan bagi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:05 AM