GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bisnes HM


PERBADANAN Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), unit milik penuh Khazanah Nasional menyertai Gobi Partners untuk pelaburan bersama RM5 juta dalam Pitch Platforms Sdn Bhd (pitchIN).

Platform pendanaan awam ekuiti pitchIN ialah Pengendali Pasaran Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti dan sehingga kini, ia berjaya membiayai 154 tawaran - yang paling tinggi antara semua platform pendanaan awam ekuiti di Malaysia.

PitchIN sudah mengumpulkan lebih RM280 juta setakat ini, dengan lebih 7,600 pelaburan dibuat ke dalam syarikat Malaysia yang berkembang pesat.

Dalam satu kenyataan, MTDC berkata, ia sedang melabur bersama dalam syarikat itu melalui Dana Pertumbuhan Perniagaan MTDC dan Dana Superseed II Gobi.

Dana itu akan terus membantu syarikat mengembangkan tawaran platform pendanaan awam ekuiti, melancarkan penawaran pertukaran permulaan (IEO) dan platform pasaran sekunder di dalam negara serta memulakan usaha sama yang serupa di peringkat serantau.

MTDC memeterai memorandum persefahaman dengan Pitch Platforms pada 2020 untuk bekerjasama dalam bidang pendanaan awam ekuiti.

Program MTDC-pitchIN membolehkan MTDC menyertai pelaburan pendanaan awam ekuiti sehingga 30 peratus dalam prospek syarikat yang layak bagi setiap kempen.

"Dengan pelaburan tambahan dalam pitchIN ini, MTDC akan dapat memudahkan lagi pengumpulan dana untuk syarikat berasaskan teknologi tempatan melalui platform sumber khalayak dalam talian mereka," kata MTDC.

Agensi itu juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu untuk syarikat yang dibiayai termasuk Pengurusan Pusat Teknologi, Akademi Latihan Usahawan Tekno (Tentra), Centre of 9 Pillars (Co9P) atau Pusat 9 Tonggak dan khidmat nasihat seperti bimbingan, penjenamaan, pengumpulan dana, kerjasama antarabangsa dan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 6:10 AM