BERNAMA

Bangi: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), anak syarikat Khazanah Nasional Berhad menyasarkan untuk meluluskan dana sebanyak RM170 juta kepada syarikat berasaskan teknologi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata, pembiayaan itu akan disalurkan menerusi enam dananya.

Dana berkenaan adalah Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) sebanyak RM40 juta, Dana Pengambilalihan Teknologi (TAF) (RM10 juta), Dana Permulaan Perniagaan (BSF) (RM15 juta), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF) (RM15 juta), Dana Pengembangan Perniagaan Bumiputera (BEF) (RM75 juta) dan Dana Pembangunan Teknologi Halal (RM15 juta).

Menurutnya, jumlah dana diperuntukkan bagi setiap syarikat bergantung mengikut saiz projek bermula dengan minimum RM500,000 hingga maksimum RM15 juta dengan nilai maksimum berbeza bagi setiap dana.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pada ‘MTDC Road2 Funding’ di sini, semalam.

Katanya, dana berkenaan akan disalurkan dalam kombinasi geran dan Tukar Nota Janji Hutang (CPN).

Menurutnya, peruntukan dana RM170 juta itu akan diagihkan dalam tempoh dua tahun bergantung kepada jenis projek yang dijalankan setiap syarikat.

“Setiap dana berkenaan akan diagihkan secara berperingkat kepada syarikat berdasarkan pencapaian mereka dalam sesuatu projek dan ia tidak akan disalurkan selagi sasaran berkenaan belum dicapai,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, kebanyakan syarikat yang memohon terbabit dalam perniagaan teknologi hijau seperti sisa komersial kepada tenaga, kitar semula, teknologi solar dan sistem penjimatan tenaga selain bioteknologi serta elektrikal dan elektronik.

Menurutnya, Dana Pembangunan Teknologi Halal yang baru diperkenalkan tahun ini juga bakal memperlihatkan pembabitan aktif syarikat pengeluar produk halal yang dieksport ke luar negara.

“Sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diiktiraf lebih 50 agensi halal di seluruh dunia dan melalui dana seperti ini, sudah pasti banyak syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di luar negara,” katanya.

Katanya, tahun lalu, RM145 juta dana diperuntukkan kerajaan kepada MTDC yang memberi manfaat kepada 71 syarikat daripada pelbagai bidang berasaskan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 7:08 AM