DAMOK (kiri) berbuka puasa bersama barisan pelumba negara yang kini berada di Roda De Bara, Sepanyol untuk menjalani latihan.
DAMOK (kiri) berbuka puasa bersama barisan pelumba negara yang kini berada di Roda De Bara, Sepanyol untuk menjalani latihan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengalaman membantu ibunya berniaga ayam percik di bazar Ramadan masih segar diingati pelumba negara, Syarifuddin Azman meskipun ketika ini sudah mencipta nama selaku antara pelumba terbaik negara.

Syarifuddin atau lebih mesra disapa Damok berkata, pengalaman itu cukup mahal kerana ia sedikit sebanyak mencorak perjalanan hidupnya untuk terus berusaha menjadi insan berguna.

"Setiap kali Ramadan, memang itulah pengalaman tak boleh saya lupakan. Saya masih ingat bertungkus-lumus bakar ayam percik untuk memenuhi tempahan orang ramai yang datang ke kedai kami.

"Bukan saya sahaja, malah abang saya turut membantu untuk siapkan semua tempahan secepat mungkin.

"Bagi saya, itulah pengalaman paling seronok dan saya akui rindu pengalaman hendak menolong mak sepanjang bulan Ramadan," katanya.

Damok tidak dapat memenuhi kerinduannya itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana sering menumpukan kepada kariernya selaku pelumba negara yang kini beraksi di Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia bersama pasukan SIC Racing.

Dia berada di Roda De Bara, Sepanyol, ketika ini untuk menjalani latihan intensif sebelum menghadapi pusingan pertama perlumbaan ketika umat Islam meraikan sambutan Aidilfitri, bulan depan.

Bercerita pengalaman menunaikan ibadah puasa beribu-ribu batu jauhnya di bumi Eropah, Damok mengakui, ia sedikit berbeza dan segala-galanya perlu dilakukan secara bersendirian.

"Setiap pagi saya sediakan sendiri juadah sahur. Kemudian waktu tengah hari pergi ke pasar raya terdekat untuk membeli keperluan berbuka puasa di sebelah petangnya.

"Ini adalah kali ketiga saya berpuasa di luar negara dan sememangnya agak berbeza apabila berpuasa bersama kawan dan mekanik, tetapi kalau di Malaysia sudah pasti berpuasa bersama keluarga dan tolong mereka di bazar Ramadan.

"Sememangnya agak sukar untuk saya apabila berpuasa di luar negara kerana pada masa sama perlu menjalani latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 8:50 PM