Penuntut Sarjana Perubatan University College Dublin, Ireland, Mohamad Irfan Mohamad Azwardi,24, (kiri) bersama rakan serumah berbuka puasa di rumah mereka. FOTO Ihsan Pembaca
Penuntut Sarjana Perubatan University College Dublin, Ireland, Mohamad Irfan Mohamad Azwardi,24, (kiri) bersama rakan serumah berbuka puasa di rumah mereka. FOTO Ihsan Pembaca
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerinduan terhadap juadah dan suasana menyambut Ramadan di tanah air selain menjalani ibadah itu pada tempoh lebih panjang tidak mematahkan semangat serta menjejaskan rutin berpuasa penuntut Malaysia di luar negara.

Penuntut Sarjana Perubatan University College Dublin, Ireland, Mohamad Irfan Mohamad Azwardi, 24, berkata, kali ini memasuki tahun ketiga dia menyambut Ramadan di negara terbabit yang tempoh berpuasanya menjangkau sehingga 16 jam.

"Kebetulan bulan puasa jatuh pada hujung musim bunga dan awal musim panas menyebabkan waktu siang lebih panjang dari malam.

"Jadi pada mulanya saya rasa mencabar berpuasa di sini, tetapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan boleh tahan.

"Cuma kali ini agak mencabar sedikit berbanding tahun sebelumnya, selain berpuasa dalam tempoh agak lama, kami kini dalam persiapan menghadapi minggu peperiksaan jadi perlu mengulang kaji dalam keadaan penat dan tahan lapar," katanya ketika dihubungi.

Mengenai penyediaan juadah sahur dan berbuka, Mohamad Irfan yang berasal dari Rawang, Selangor itu berkata, dia yang menetap bersama empat lagi rakyat Malaysia mengamalkan sistem giliran memasak.

"Setiap orang akan ambil giliran satu hari memasak juadah sahur dan berbuka untuk semua ahli rumah.

"Pada Sabtu dan Ahad pula, kami akan buat pilihan sama ada makan di luar, buat tempahan serta ambil atau masak sendiri.

"Biasanya kami akan makan nasi, lauk dan buah-buahan serta sesekali pasta, spageti, roti dan sudah pasti saya sangat rindukan roti John dan kuih atau manisan Malaysia kerana tidak ada jual di sini," katanya.

Berkongsi pengalaman sama, penuntut Sarjana Kejuruteraan Rangkaian dan Telekomunikasi, University of Technology of Troyes, Perancis, Mohamad Akram Syukri Mohamad Zaini, 24, berkata, berpuasa tahun ini tidak mencabar berbanding tahun pertama di negara itu apabila Ramadan tiba pada musim panas, empat tahun lalu.

"Tahun ini puasa jatuh pada musim bunga dan cuma 16 jam saja, jadi tidak rasa letih dan dahaga sangat berbanding tahun pertama dulu, agak mencabar apabila saya berpuasa pada musim panas dalam tempoh 17 jam setengah.

"Kebanyakan masa berbuka dan bersahur saya seorang diri saja, jadi saya masak sendiri di rumah.

"Saya gemar masak menu Malaysia seperti kari, kurma, nasi ayam dan masakan yang mudah di mana ramuan serta rempah ratus saya bawa sendiri dari Malaysia atau beli di kedai Arab berdekatan," katanya yang sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat pembuatan bahan asas kaca mata di Paris.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak yang berasal dari Bandar Baharu, Kedah itu berkata, makanan paling dirindui setiap kali Ramadan ialah ayam percik yang sukar dibuat dan ditemui di negara itu.

Bagi penuntut Universiti Harvard di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, 21, pula berkata, walaupun kali pertama berpuasa di perantauan, ia tidak mematahkan semangatnya menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga itu.

"Setakat ini paling lama saya puasa di sini, 15 jam dan 48 minit namun saya bernasib baik ketika ini Ramadan jatuh pada musim bunga jadi cuaca tidak mempengaruhi saya sangat.

"Cuma, mencabar apabila Ramadan ini tiba pada bulan akhir semester di mana peperiksaan sedang dan akan berlangsung selain jadual padat dengan aktiviti kelab serta tugasan pembelajaran dan kuliah yang diteruskan tanpa perubahan waktu.

"Ketika ini, saya masih mencari keseimbangan antara tanggungjawab menuntut ilmu dan pada masa sama tidak mahu melepaskan peluang membaca al-Quran, solat Tarawih serta solat sunat malam pada bulan mulia ini," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur itu berkata, kerinduan terhadap suasana berbuka puasa bersama keluarga dan laungan azan di tanah air terubat apabila pihak universiti memenuhi keperluan penuntut Muslim termasuk menyediakan makanan halal, membiayai majlis berbuka puasa serta Tarawih untuk 500 pelajar Muslim setiap malam.

"Walaupun kali pertama berpuasa di perantauan, saya amat gembira kerana masyarakat Muslim di sini datang dari seluruh pelosok dunia dan amat mengambil berat satu sama lain.

"Kami macam sebuah keluarga besar berbuka puasa dan solat bersama. Untuk sahur pula pihak universiti menyediakan pilihan sama ada kita hendak mengambil barangan basah untuk memasak atau makanan kering seperti roti atau buah-buahan," katanya.

Untuk rekod, negara lain yang turut mengalami tempoh berpuasa panjang tahun ini ialah Iceland iaitu 16 jam dan 50 minit, Poland serta United Kingdom masing-masing 15 jam manakala tempoh Ramadan pendek, 11 jam hingga 12 jam di negara seperti Afrika Selatan, Argentina, New Zealand, Paraguay dan Uruguay.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 7:00 AM