SYARIFUDDIN Azman selepas menamatkan sesi latihan bebas di SIC hari ini. FOTO OSMAN ADNAN
SYARIFUDDIN Azman selepas menamatkan sesi latihan bebas di SIC hari ini. FOTO OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Impian pelumba negara, Syarifuddin Azman untuk beraksi pada musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia akhirnya tercapai apabila diumumkan akan beraksi bersama pasukan MT Helmets MSi dalam kelas Moto3 pada tahun depan.

Syarifuddin atau lebih dikenali Damok yang beraksi menerusi tiket wild card bersama pasukan Vision Track Racing di Grand Prix (GP) Petronas Motosikal Malaysia dekat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini, nyata teruja dengan pengumuman itu.

"Impian menjadi kenyataan untuk debut di dalam Kejohanan Dunia Moto3 bersama pasukan MTHelmets-MSi. Saya mempunyai musim yang baik dalam Kejohanan Dunia JuniorGP tahun ini dan bersedia untuk bersaing di Kejohanan Dunia Moto3.

"Saya pasti satu lagi tahap baharu dalam karier ini akan menambah pengalaman dan dapat berkembang sebagai pelumba bersama-sama pasukan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan mereka. Saya sangat bermotivasi untuk musim 2023," katanya.

Damok kini menduduki tangga keempat dengan mengumpul 110 mata dalam kelas Moto3 di Kejohanan Dunia JuniorGP yang masih berbaki satu pusingan perlumbaan di Valencia.

Sementara itu, prinsipal pasukan, Teo Martin percaya Damok mempunyai potensi besar untuk menyerlah bersama-sama rakan sepasukan dari Brazil, Diogo Moreira.

"Kami sangat gembira dapat menandatangani Syarifuddin untuk musim 2023 kerana dia seorang pelumba yang pastinya akan dapat menyerlahkan potensinya bersama kami.

"Diogo dan Syarifuddin akan menjadi rakan sepasukan yang baik dan bersama-sama kami akan membentuk struktur sangat kuat pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 5:03 PM