Najmi dan isterinya di gerai Kawan Ayam Percik. FOTO ihsan pembaca
Najmi dan isterinya di gerai Kawan Ayam Percik. FOTO ihsan pembaca
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Ayam percik antara menu atau juadah wajib yang menjadi pilihan ramai untuk dijadikan santapan ketika berbuka.

Menariknya, jualan ayam percik itu juga antara tarikan utama pengunjung di Bazar Ramadan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang 'menghidangkan' pelbagai juadah berbuka sempena Ramadan ini.

Rata-rata pengunjung ketika ditemui wartawan memaklumkan, mereka berkunjung ke Bazar Ramadan HKL untuk mendapatkan ayam percik berkenaan kerana keunikan rasa dan keenakannya.

Rahim Ali, 32, pekerja HKL berkata, dia dan rakannya menjadikan ayam percik di bazar berkenaan sebagai pilihan utama mereka.

"Rasanya sangat sedap, ayam lembut dan kuah kacangnya sempurna (cukup rasa). Harga pun murah.

"Saya dapat tahu selepas rakan perkenalkannya kepada saya, amat berbaloi," katanya ketika ditemui, semalam.

Bagi pengusaha Kawan Ayam Percik, Mohamad Najmi Md Saad, 36, dia bersyukur dan gembira dengan sambutan diberikan orang ramai terhadap ayam percik jualannya itu.

"Alhamdulillah untuk beberapa hari berniaga di bulan Ramadan ini, kami menerima sambutan amat menggalakkan.

"Malah, ada pelanggan yang kembali mencari ayam percik kami, meminta kuah lebih untuk dibawa pulang dan ada juga yang membuat tempahan awal untuk membeli," katanya yang baru setahun menjalankan perniagaan ayam percik di Kuala Lumpur.

Najmi membakar ayam (kiri) dan pelanggan beratur mendapatkan ayam percik (kanan). FOTO ihsan pembaca
Najmi membakar ayam (kiri) dan pelanggan beratur mendapatkan ayam percik (kanan). FOTO ihsan pembaca

Berkongsi keistimewaan Kawan Ayam Percik, Mohamad Najmi menjelaskan, ayam percik itu mempunyai kelainan tersendiri yang membezakan ayam perciknya dengan premis lain.

"Istimewanya ayam percik kami adalah dari segi pembuatan kuah dan juga kaedah pembakaran ayam itu sendiri.

"Cara pembakaran ayam itu, kami bakar dan celup ke dalam kuah. Kami akan bakar ayam itu sekali lagi bagi menambahkan rasa.

"Kebiasaannya peniaga lain menjual bahagian isi dan paha sahaja, namun di Kawan Ayam Percik, kami turut menyajikan bahagian rangka buat peminat tulang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, resipi dan keunikan rasa ayam percik miliknya adalah daripada keluarga isteri yang juga pengusaha ayam percik di Gurun, Kedah sejak 14 tahun lalu.

Ditanya harga jualan ayam percik itu, katanya, ia dijual RM3 hingga RM5 mengikut saiz potongan dan bahagian ayam berkenaan.

Katanya, biarpun cuaca pada sebelah petang hujan sejak memulakan perniagaannya di bazar ramadan itu, sambutan tetap menggalakkan.

"Insya-Allah, jika cuaca mengizinkan saya yakin sambutannya akan bertambah selepas ini," katanya.

Selain Bazar Ramadan HKL sepanjang Ramadan ini, Kawan Ayam Percik boleh didapati perkarangan masjid Selayang pada hari Jumaat ataupun pembeli juga boleh membuat tempahan awal untuk majlis dengan menghubungi Mohamad Najmi di talian 0183634055.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 11:25 AM