MAWARNI memperkenalkan ayam pasu sebagai menu utama di Bazar Ramadan Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi.
MAWARNI memperkenalkan ayam pasu sebagai menu utama di Bazar Ramadan Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bangi: Ayam bakar dan ayam percik menjadi antara menu wajib setiap kali tiba Ramadan sebagai juadah pembuka selera ketika berbuka.

Namun, bagi mencari kelainan, Mawarni Che Omar, 37, memperkenalkan 'ayam pasu' sebagai menu utama di Bazar Ramadan Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, tahun ini.

Bercerita lanjut mengenai menu istimewa itu, Mawarni berkata, ayam akan diperap menggunakan perapan istimewa selama 12 jam.

Katanya, masa yang lama diambil bagi membolehkan rempah yang digunakan itu sebati dalam isi ayam.

"Kami akan bakar ayam menggunakan pasu selama 25 minit bagi meningkatkan lagi rasa dan aromanya.

"Setakat ini, sambutan begitu menggalakkan dan ayam pasu ini dijual pada harga RM25 seekor dan dijual antara 60 hingga 70 ekor sehari," katanya yang dibantu anak sepanjang berniaga.

Pelanggan, Mohd Fazli Mohd Jaafar, 43, berkata, ayam pasu ini antara menu yang menarik ditemui di bazar Ramadan berkenaan.

Katanya, setiap tahun dia tidak akan melepaskan peluang merasai keenakan ayam yang enak dimakan begitu saja.

"Setiap kali Ramadan saya akan berkunjung ke bazar ini untuk membeli ayam pasu kerana keenakan rasanya yang berbeza," katanya.

Peniaga puding, Siti Fairuz Izzati Ibrahim, 27, gerai jualannya menawarkan aneka puding sebagai juadah pemanis ketika berbuka puasa.

Katanya, sudah 10 tahun dia membantu keluarga menjual lebih 15 jenis puding setiap kali Ramadan tiba.

"Setiap hari memang tidak menang tangan melayani permintaan pelanggan yang mula berkunjung bermula jam 4 petang.

"Puding karamel dan puding buah antara menu yang mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari pelanggan," katanya.

Beliau berkata, puding dimasak setiap hari bagi memastikan kesegaran dan keenakannya terus kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 7:01 AM