MUHAMMAD Rafieq Al-Amzar (kanan) bersama rakan sepasukannya di Bosnia.
MUHAMMAD Rafieq Al-Amzar (kanan) bersama rakan sepasukannya di Bosnia.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Solat tarawih tidak pernah dilupakan pemain bola sepak muda negara, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifeli biarpun dia kini berada di Bosnia.

Katanya, adalah satu rahmat apabila tetap dapat menjalankan ibadah sunat seperti bersolat tarawih sepanjang bulan Ramadan dan suasananya agak berbeza berbanding di Malaysia.

Rafieq, 19, yang mengikat kontrak profesional dengan kelab NK Zvijezda Gradacac di Liga Bosnia mengakui sering ke masjid di bandar Gradacac bagi menunaikan ibadah itu.

"Alhamdulillah aktiviti dilakukan semasa bulan Ramadan ini semuanya berjalan dengan baik. Seperti biasa , pada 3.30 pagi saya akan bangun untuk bersahur dan menunggu untuk solat Subuh.

"Latihan saya bersama pasukan berjalan seperti biasa. Habis sahaja latihan pada waktu petang saya terus pergi di restoran dan beli makanan untuk berbuka puasa.

"Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar," katanya kepada Arena Metro.

Menurutnya, pada bulan Ramadan ini, saingan Liga Bosnia tetap berjalan seperti biasa dan Rafieq akui tidak berdepan masalah untuk kekal berpuasa sepanjang hari.

Katanya, berpuasa di Bosnia berbeza kerana umat Islam perlu berpuasa selama 15 jam.

"Setiap minggu saya ada perlawanan untuk skuad bawah 19 dan membantu pasukan senior dalam liga utama. Di sini, tiada bazar dibuka untuk orang yang berpuasa.

"Bagi saya tiada masalah untuk berpuasa di Bosnia dan ini adalah pengalaman berharga untuk saya.

"Di sini setiap minggu kami ada perlawanan dan perlu bersedia. Setiap hari Selasa dan Khamis, kami ada dua sesi latihan iaitu pada waktu pagi dan petang. Untuk saya , berpuasa di sini lebih cabaran berbanding berpuasa di Malaysia dan ini bagus untuk membuatkan mental saya lebih kukuh," katanya.

Minggu lalu, Rafieq menggegar arena bola sepak tempatan apabila meledak dua gol ketika membantu kelabnya membelasah FK Ilicka 01 Brcko dalam saingan B-19, sekali gus membuktikan anak tempatan mampu menjaringkan gol di pentas Eropah.

Malah, penampilan mantap penyerang muda itu turut menyaksikan dia mula menembusi pasukan senior kelab terbabit dalam saingan divisyen dua Bosnia, musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 9:14 PM