BRUNO berbuka puasa bersama keluarga dan akui cukup gembira dapat menyempurnakan ibadah itu sehingga habis.
BRUNO berbuka puasa bersama keluarga dan akui cukup gembira dapat menyempurnakan ibadah itu sehingga habis.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengalaman berpuasa pertama kali pada Selasa lalu sememangnya sukar namun saat menghirup segelas air ketika tiba waktu berbuka nyata memberi kenikmatan sukar digambarkan.

Itu antara saat paling tidak akan dilupakan pemain import PDRM FC, Bruno Suzuki yang berkongsi dengan Arena Metro tentang pengalaman menjalani ibadah puasa pertamanya pada Selasa lalu.

Bruno, 31, yang memeluk agama Islam pada Ogos tahun lalu akui cukup gembira dapat menyempurnakan ibadah rukun Islam ketiga itu dengan jayanya biarpun pada satu ketika berhasrat untuk berpuasa setengah hari.

Namun berkat kesabaran dan kekuatan dalaman, dia akhirnya mampu menahan lapar dan dahaga sehingga waktu berbuka.

"Ini pengalaman pertama saya berpuasa selaku saudara baru selepas memeluk agama Islam tahun lalu. Sebelum masuk Islam, saya selalu melihat rakan-rakan sepasukan berpuasa di bulan Ramadan.

"Tapi kali ini saya berpeluang melaksanakannya dan ia pengalaman baru buat saya. Asalnya saya ingat mahu puasa setengah hari saja, tapi saya berjaya menahan dahaga hingga waktu berbuka.

"Terus terang saya katakan, memang nikmat rasanya apabila dapat berbuka dengan meminum air untuk membatalkan puasa dan selepas itu saya memakan kurma. Saya tak pernah rasa senikmat itu, inilah orang kata nikmat apabila berpuasa.

"Saya memang gembira dapat berpuasa penuh pada hari pertama (Selasa lalu), dan saya mahu terus berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada Ogos tahun lalu, penyerang kelahiran Brazil yang memiliki darah Jepun dari sebelah ibunya mengucap kalimah syahadah di hadapan Ustaz Arif M Rajoli dan disaksikan oleh Komandan Pulapol Kuala Lumpur (KL), Senior Asisten komisioner Noor Hisam Nordin serta barisan pengurusan, jurulatih dan pemain PDRM FC.

Bruno antara pemain import yang lama berada di negara ini dan pernah beraksi bersama pasukan seperti Negeri Sembilan pada 2017 dan Terengganu FC dari 2018 hingga 2020.

Ujarnya lagi, setiap kali tiba Ramadan dia gemar ke bazar bagi mencari juadah berbuka termasuk ketika sebelum memeluk Islam.

"Saya suka pergi bazar, sebelum masuk Islam pun saya selalu pergi untuk mendapatkan juadah makanan. Banyak pilihan yang ada dan saya suka makan nasi lemak dan nasi ayam.

"Murtabak pun saya makan kerana ia macam roti canai dan sungguh sedap. Sekarang saya sudah mula berpuasa dan aktiviti ke bazar adalah acara wajib," katanya.

Mengulas mengenai pasukan, Bruno akui meletakkan sasaran peribadi pada musim ini dengan mahu meledak lebih banyak gol buat skuad Sang Saka Biru.

"Musim lalu saya menjaringkan 10 gol. Bagi musim ini, saya mahu menjaringkan lebih banyak gol sekurang-kurangnya 15 gol pada musim ini dan memastikan PDRM FC dapat menamatkan saingan di lima kelompok terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 10:56 PM