MCILROY menafikan akan menyertai LIV Golf, sebaliknya berikrar kekal bersama Jelajah PGA. FOTO AFP
MCILROY menafikan akan menyertai LIV Golf, sebaliknya berikrar kekal bersama Jelajah PGA. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Rory McIlroy menafikan laporan mengaitkannya dengan perpindahan ke LIV Golf, sebaliknya berikrar kekal sebagai pemain Jelajah PGA sepanjang kariernya.

Laporan di Britain mendakwa McIlroy yang juga pengkritik kejohanan Saudi itu beralih ke LIV dengan perjanjian bernilai AS$850 juta (RM4.073 bilion).

Tetapi, juara empat kali kejohanan utama dari Ireland Utara itu menyelar khabar angin berkenaan dalam temu bual bersama Golf Central, semalam.

"Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana perkara ini bermula," kata McIlroy.

"Saya tidak pernah ditawarkan apa-apa oleh LIV dan tidak pernah bercadang untuk menyertai LIV. Sekali lagi, saya fikir sudah menjelaskan sejak dua tahun lalu bahawa saya tidak fikir ia sesuai untuk saya."

Sejak ditubuhkan, LIV menandatangani ramai pemain gol elit termasuk bintang Sepanyol, Jon Rahm yang menjadi pemain terbaru menyertai mereka pada Disember lalu dengan perjanjian dilaporkan sekitar AS$500 juta (RM2.396 bilion).

"Satu perkara saya perasan sejak dua tahun lalu adalah manusia bebas membuat keputusan sendiri dan memikirkan apa yang terbaik untuk mereka," kata McIlroy.

"Siapa kita untuk menghakimi mereka atas keputusan itu? Tetapi secara peribadi bagi saya, masa depan saya di Jejalah PGA dan tidak akan berubah."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 1:17 PM