RORY MCILROY
RORY MCILROY
AFP

PERMULAAN sensasi Rory McIlroy tahun ini dengan tujuh kali dalam kelompok 10 terbaik termasuk gelaran Kejuaraan Pemain-Pemain membuatkannya menjadi pilihan untuk menjuarai kejohanan Masters minggu depan dan melengkap gelaran Grand Slam sepanjang kariernya.

Namun juara major empat kali dari Ireland Utara itu bakal diuji di Augusta Nasional oleh Tiger Woods yang semakin bangkit, pemain terbaik dunia Dustin Johnson dan pemain nombor dua dunia Justin Rose.

McIlroy, pemain nombor tiga dunia, yang akan berusia 30 tahun bulan depan konsisten sebagai pencabar sepanjang musim dan akhirnya menjuarai Kejuaran Pemain-Pemain selepas lima kali berada dalam kelompok enam terbaik.

“Jika saya memberi tumpuan terhadap diri saya, kawal apa yang saya lakukan, permainan golf dengan sikap yang baik akan menjamin kejayaan seterusnya,” kata McIlroy.

“Jika saya pergi ke Australia dengan gaya permainan yang sama dan sikap yang ditunjukkan dalam tempoh beberapa minggu tahun ini, saya rasa peluang saya lebih cerah.

“Saya rasa saya suka melakukan perkara kecil dengan tepat dan selangkah demi selangkah ia akan membantu terhadap segala perkara yang dianggap penting oleh orang lain.”

Mendahului senarai keutamaan McIlroy pastinya peluang disarungkan Jaket Hijau Masters yang akan meletakkan pemain itu sebagai juara empat kejuaraan major dan menyertai Woods, Jack Nicklaus, Ben Hogan, Gary Player dan Gene Sarazen.

“Saya bermotivasi untuk merebut peluang dan meletakkan nama saya dalam kalangan terhebat sukan ini,” kata McIlroy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 1:16 PM