CHRIS Hoy. FOTO AFP
CHRIS Hoy. FOTO AFP
Agensi

London: Juara berbasikal Olimpik enam kali, Sir Chris Hoy berkata dia "optimis, positif dan dikelilingi kasih sayang" selepas mendedahkan disahkan menghidap kanser tahun lalu.

Bekas pelumba basikal trek Great Britain berusia 47 tahun itu menyiarkan di Instagram bahawa rawatannya, termasuk kemoterapi berjalan dengan baik.

"Saya terus bekerja, menunggang basikal dan menjalani kehidupan seperti biasa," tambahnya.

Hoy memenangi enam pingat emas Olimpik antara 2004 sehingga 2012.

Pelumba Scotland itu yang juga juara dunia 11 kali dan pelumba basikal Olimpik kedua yang paling terkenal sepanjang zaman berkata, ia adalah satu kejutan besar tanpa mengalami sebarang gejala apabila disahkan menghidap kanser.

Dia yang tidak mendedahkan jenis kanser dialaminya itu menambah: "Demi keluarga, saya berharap untuk merahsiakan maklumat ini tetapi malangnya terpaksa juga mendedahkannya.

"Saya berterima kasih atas segala sokongan, saya ingin untuk menangani perkara ini secara peribadi.

"Saya optimis, positif dan dikelilingi oleh kasih sayang dan saya benar-benar bersyukur. Seperti yang anda bayangkan, beberapa bulan kebelakangan ini amat sukar. Namun, saya kini berasa sihat."

Dia bersara daripada dunia berbasikal pada 2013, dengan rekod 17 gelaran utama merentasi empat disiplin sekali gus menjadikannya pelumba berbasikal trek paling berjaya sepanjang zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 10:53 AM