HARRIF serius untuk kembali ke velodrom. FOTO Malik Muhamad
HARRIF serius untuk kembali ke velodrom. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Saya benar-benar serius untuk kembali beraksi dalam acara trek, saya pun begitu rindu, harap impian saya menjadi kenyataan sebelum gantung basikal.

"Tambahan pula saya dimaklumkan jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley sudah memberi lampu hijau untuk saya kembali berguru dengannya," demikian reaksi pelumba berbasikal lebuh raya negara, Mohd Harrif Saleh.

Terdahulu Harrif yang pernah berkelana di Melbourne, Australia bersama Datuk Azizulhasni Awang pada 2010 dan berlatih bawah kendalian Beasley dalam acara trek meluahkan untuk kembali beraksi dalam acara kegemarannya itu.

Pelumba berusia 33 tahun itu berkata, keinginannya untuk kembali ke velodrom adalah bagi mengintai peluang beraksi dalam temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris selepas rakan seperjuanganya, Jijoe melakar kejayaan dengan meraih pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo bulan lalu.

Bagaimanapun Harrif yang kini antara pelumba handalan Terengganu Cycling Team (TSG) menyerahkan keputusan itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Saya tidak mahu melanggar prosedur, jadi saya serahkan kepada MSN dan PKBM untuk membuat keputusan dan memberi lampu hijau kepada saya untuk kembali ke velodrom.

"Jika MSN kata boleh, saya akan pergi seberapa segera ke gelanggang latihan sebagai persediaan menjelang sukan terbesar dunia itu yang bakal berlangsung tiga tahun lagi.

"Elaun tak perlu bagi kepada saya, cuma kelengkapan dan keperluan asas lain sahaja yang diperlukan contoh basikal, tempat penginapan dan keperluan lain termasuk perancangan untuk menyertai kejohanan sebelum ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 2:42 PM