Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yakin dengan Azeem.
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yakin dengan Azeem.
Oleh Aida Adilah Mat


Hangzhou: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yakin dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang tampil berbeza di temasya Sukan Asia, Hangzhou kali ini.

Poad yang ditemui berkata, beliau melihat sendiri perbezaan dari pelari berasal dari Perak itu dan menaruh harapan yang tinggi bahawa Azeem mampu untuk memperbaiki catatan ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Julai lalu.

Pada Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand Julai lalu, Azeem terpaksa akur apabila menamatkan saingan final 100m di tempat kelima dengan catatan 10.25 saat (s) yang menyaksikan pingat emas dimenangi pelari Jepun, Hiroki Yanagita.

Menurut Poad, kesemua barisan atlet negara kini sudah bersedia dan berdasarkan persiapan yang dilakukan, beliau yakin atlet seperti Khairul Hafiz Jantan akan dapat memperbaiki catatan terbaik masing-masing.

"Saya yakin dengan prestasi semua atlet kita. Azeem mungkin boleh layak ke final. Khairul Hafiz Jantan akan dapat perbaiki catatan masa terbaiknya 10.30s.

"Untuk acara 4x100m juga barisan pelumba semakin mantap. Malah Azeem tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan berpasukan yang diterapkan kepada atlet di Malaysia biarpun baru menjalani latihan bersama dalam tempoh seminggu," katanya.

Kuartet 4x100m negara akan mempertaruhkan Khairul Hafiz selaku pelari pertama dengan dua lagi slot bakal menjadi rebutan antara Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Muhammad Arsyad Md Saat dan Russel Alexander Nasir Taib.

Manakala Azeem akan mengalas tugas sebagai pelari terakhir. Rekod kebangsaan dalam acara 4x100m adalah 49.09s yang dilakukan sewaktu merangkul perak di Sukan Sea Hanoi di Vietnam, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 2:37 PM