AZEEM (tengah) akan diletakkan sebagai pelari terakhir di Sukan Asia Hangzhou. FOTO AFP
AZEEM (tengah) akan diletakkan sebagai pelari terakhir di Sukan Asia Hangzhou. FOTO AFP
BERNAMA

Shah Alam: Dua lagi pelari yang bakal menggalas cabaran negara dalam acara 4x100 meter (m) lelaki pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China akan ditentukan selepas Kejohanan Olahraga Terbuka Indonesia minggu depan.

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim berkata, buat masa ini, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Azeem Fahmi, masing-masing dijangka diletakkan sebagai pelari pertama dan terakhir dalam acara berkenaan.

"Pelari kedua dan ketiga masih dalam penilaian terakhir, sebelum kita berangkat ke Hangzhou. Walaupun kita sudah memilih dua pelari untuk acara 4x100m, kita akan bawa pelari simpanan.

"Sebab ada antara mereka yang akan berlari dalam acara individu dan kita tidak tahu apa akan berlaku kelak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain Khairul Hafiz dan Muhammad Azeem yang disenaraikan dalam kuartet 4x100m negara, turut berada dalam penilaian terakhir ialah Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Haiqal Hanafi.

Dalam pada itu, Khairul Hafiz yang diberi julukan The Speedy Jantan, bersedia menggalas cabaran sebagai pelari pertama negara, sambil mengakui penyertaan Muhammad Azeem sebagai pelari terakhir bakal menjadi tonik tambahan buat kuartet negara, dalam mencatat keputusan positif pada temasya sukan itu.

"Bila jurulatih buat perubahan sejak Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, nampak ada peningkatan dari segi masa.

"Sebelum ini di Sukan Sea dan Sukan Komanwel saya jadi pelari terakhir, tapi bila ada pelari lebih laju dan jurulatih buat pertukaran, catatan masa kita semakin baik," katanya selepas Majlis Penyerahan Kraf Budaya Malaysia kepada Atlet Malaysia di Proton Centre, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini hari ini.

Sebagai rekod, kuartet 4x100m lelaki negara yang dibarisi Muhammad Azeem, Khairul Hafiz, Jonathan Nyepa dan Mohammad Thaqif Hisham, menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 39.17 saat pada ATF 2023, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 5:19 PM