AZEEM (dua dari kanan) turut menyertai acara 4x100m di Pattaya.
AZEEM (dua dari kanan) turut menyertai acara 4x100m di Pattaya.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari harapan negara untuk menjelmakan pingat dalam acara pecut di Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini, Muhammad Azeem Fahmi kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha kanan dan sudah bersedia mengibarkan cabaran.

Azeem kini berada di Universiti Pendidikan Sultan Idris menjalani kem latihan pusat bersama pelari pecut negara yang lain sambil dipantau jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim sepanjang berada di sini.

"Azeem kini sudah berada dalam fasa bersedia untuk kejohanan Asia. Kecederaannya juga sudah pulih. Di UPSI ini kami sediakan perkhidmatan fisioterapi khas untuk Azeem dan atlet yang lain. Insya-Allah semua akan berjalan lancar dan doakan kejayaan atlet kita di Thailand nanti," kata Poad.

Azeem berpotensi menaiki podium di Kejohanan Asia kali ini berdasarkan rekod ranking 100m Asia 2022 yang menyaksikan dia berada di kedudukan kelima dengan catatan rekod kebangsaan 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.

Kehadiran jurulatihnya, Ken Harnden yang bertanggungjawab membimbing Azeem di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) akan diterbangkan khas untuk bersama-sama dengannya di Pattaya nanti diharapkan mampu membawa sinar buat kem olahraga negara.

Di Pattaya nanti Azeem dijangka menerima tentangan dari Yupun Abeykoon dari Sri Lanka yang kini memegang status nombor satu Asia tahun lalu dengan catatan 9.96s manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua, 9.98s.

Seorang lagi atlet Jepun, Ryuichiro Sakai berada di kedudukan ketiga dengan catatan 10.02s.

Di Pattaya, Azeem akan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Thaqif Hisham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 4:03 PM