HAIQAL gigih menjalani latihan dalam usaha memburu tempat ke Sukan Asia di Hangzhou. FOTO Ihsan Haiqal Hanafi.
HAIQAL gigih menjalani latihan dalam usaha memburu tempat ke Sukan Asia di Hangzhou. FOTO Ihsan Haiqal Hanafi.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jaguh olahraga kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi, terus gigih menjalani latihan dalam usahanya untuk memastikan tempat di Sukan Asia di Hangzhou China, September depan, tidak tergugat.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu yakin, walaupun Muhammad Azeem Mohd Fahmi bakal membuat kemunculan semula, namun peluangnya tetap cerah untuk beraksi dalam acara 4x100 meter (m) di temasya berkenaan.

Muhammad Haiqal mengalu-alukan kehadiran semula Muhammad Azeem kerana ia dapat memperkuatkan lagi pasukan negara.

"Setakat ini senarai atlet olahraga yang akan mewakili negara di Sukan Asia tahun ini belum dimuktamadkan."

Namun, persiapan rapi sedang dilakukan dan saya bersama atlet lain sekarang giat menjalani latihan di Bukit Jalil.

"Kedatangan Muhammad Azeem sememangnya dinantikan kerana kuartet 4x100m memerlukan kekuatan untuk bersaing dengan pelari pecut negara lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemenang dua pingat gangsa pada Sukan Sea di Kemboja itu berkata, usaha sedang dibuat untuk mendapatkan catatan masa peribadi terbaik kepada 10.35s berbanding catatan terbaik ketika ini, 10.41s.

"Walaupun senarai ke Sukan Asia belum diumumkan, saya tetap perlu bekerja lebih keras bagi meningkatkan lagi tahap prestasi untuk mendapatkan catatan masa larian lebih baik.

"Jika mengambil kira rekod 4x100m di Sukan Asia yang lepas, pelari Jepun antara yang mendominasi acara ini dengan catatan 10.39s.

"Jadi, kami perlu berada dalam kelompok catatan masa bawah 10.39s untuk bersaing dengan baik dalam acara pecut ini.

"Kehadiran semula Muhammad Azeem mungkin boleh membantu pasukan negara," katanya yang mengakui lega selepas kecederaan lutut dialaminya sebelum ini sudah pulih.

Muhammad Haiqal berharap peluangnya beraksi di Sukan Asia buat kali kedua dapat membantu pasukan negara mencipta rekod cemerlang dalam acara 4x100m.

"Pada temasya di Palembang Indonesia 2018, kami berjaya melangkah ke pentas final," katanya yang bertindak sebagai pelari ketiga di samping Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz Jantan pada acara 4x100m di Kemboja lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 3:56 PM