AKSI Emma Raducanu. FOTO Agensi
AKSI Emma Raducanu. FOTO Agensi
Agensi

London: Hasrat pemain tenis wanita Britain, Emma Raducanu beraksi untuk baki musim ini tidak kesampaian apabila terpaksa melupakannya ekoran masalah kecederaan.

Raducanu, 20, sebelum ini terlepas beraksi di Terbuka Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini selain turut hanya melihat di tepi gelanggang di Terbuka Perancis dan Wimbledon.

Ia disebabkan kecederaan panjang dialaminya selepas melakukan pembedahan di kedua-dua pergelangan tangan selain di buku lalinya pada Mei lalu.

"Musim depan saya akan kembali. Musim ini semua kejohanan grand slam sudah pun berakhir, jadi sukar untuk saya kembali pada tahap terbaik tahun ini.

"Tetapi saya cuba untuk kekal di landasan sebenar dengan sebaik mungkin dan terus fokus terhadap proses pemulihan," katanya yang sudah terkeluar daripada senarai 200 pemain terbaik dunia.

Ujarnya lagi, dia berharap akan dapat kembali menemui sentuhannya pada awal musim depan dengan dia kini sudah mula kembali menjalani latihan di gelanggang bulan ini.

Raducanu mula dibelenggu kecederaan sejak kemenangan Terbuka AS 2021. Dia hanya beraksi 10 perlawanan tahun ini dan gagal melepasi pusingan kedua dalam mana-mana grand slam sejak cemerlang di Flushing Meadows.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 12:36 PM