MURRAY teruja kembali di Grand Slam. FOTO AFP
MURRAY teruja kembali di Grand Slam. FOTO AFP
AFP

ANDY Murray berharap dapat kembali beraksi di Grand Slam dengan menyertai Terbuka AS dan Perancis tahun ini.

Juara tiga kali Grand Slam itu berehat panjang sejak November lalu akibat kecederaan pelvik tetapi akan kembali menyertai kejohanan British yang dianjurkan abangnya, Jamie Murray minggu ini.

Murray berdepan Liam Broady di Pusat Tenis Nasional di Roehampton dan perlawanan sesama pemain Britain itu memberikan dia peluang beraksi secara kompetitif menjelang Jelajah ATP pada Ogos depan sebelum menyertai dua Grand Slam.

Terbuka AS dijangka berlangsung tanpa penonton pada 31 Ogos diikuti Terbuka Perancis yang bermula 27 September.

Bagaimanapun, beberapa pemain utama termasuk Novak Djokovic dan Rafael Nadal mempersoalkan kewajaran mereka untuk merentasi Atlantik dan bermain di Flushing Meadows.

Tetapi Murray gembira kembali ke New York untuk aksi Grand Slam pertamanya sejak Terbuka Australia 2019 walaupun mungkin berdepan kekangan anggota pasukan yang boleh turut serta bersamanya.

"Beraksi di Grand Slam menjadi keutamaan saya," katanya. "Jadual dan peraturan mungkin ketat tetapi saya faham. Saya tak kisah dengan situasi itu selagi ia selamat.

"Jika saya diberitahu hanya boleh seorang mengikut saya, ia tiada masalah. Saya mungkin boleh pergi dengan fisio dan beberapa aspek latihan boleh dilakukan sendirian."

Murray belum lagi menetapkan jadual perlawanan bakal disertai sebagai persiapan menghadapi Slams tetapi berharap rehat panjang dapat membantu tubuhnya pulih kembali selepas beberapa siri kecederaan yang serius.

Dia merancang kembali bertarung pada Mac lalu namun tidak menjadi susulan pandemik koronavirus yang menghentikan aktiviti tenis seluruh dunia.

"Pangkal paha saya semakin baik sejak tiga atau empat minggu lalu," katanya. "Buat masa sekarang, saya agak lebih yakin selepas sesi latihan yang intensif."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 10:03 AM