Datuk Ab Ghani Hassan (Presiden MFL), Datuk Khairul Anwar Salleh (Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima) dan Chow Mey Leng (Ketua Strategi Kandungan dan Operasi TM, Unifi) - FOTO TV9
Datuk Ab Ghani Hassan (Presiden MFL), Datuk Khairul Anwar Salleh (Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima) dan Chow Mey Leng (Ketua Strategi Kandungan dan Operasi TM, Unifi) - FOTO TV9
Muhammad Najmir Razaman

PETALING JAYA: TV9 kini menyajikan aksi Liga Super Malaysia secara terus ke televisyen anda.

Berada di pertengahan musim dan memasuki hari perlawanan ke-15, TV9 membawakan perlawanan antara Terengganu FC yang menerima kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu malam tadi menyaksikan barisan pemain bintang JDT seperti Bergson, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi, serta pemain-pemain hebat Terengganu seperti Kpah Sherman, Kipré Tchétché dan Faisal Halim.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, sebagai peminat bola sepak tempatan, beliau teruja dengan perkembangan ini, di mana TV9 akan menyiarkan kandungan sukan yang menarik dan terkini.

Tambahnya lagi, TV9 akan terus memberi ruangan kepada penggemar bola sepak dan rakyat Malaysia untuk menonton sukan kegemaran mereka di TV9 sebagaimana yang dijanjikan. 

Menurut pengacara serta pengulas bola sepak Liga Super Malaysia, Hanif Miswan, walaupun Liga Super Malaysia sudah berada di pertengahan musim, perasaan gembira itu masih ada apabila TV9 bakal menyiarkan perlawanan-perlawanan yang akan datang.

Penyiar rasmi Liga Super Malaysia, unifi TV juga mengambil langkah memanjangkan hak penyiaran ini kepada TV9, demi para peminat bola sepak tempatan.

Mengulas mengenainya, Ketua Pegawai Komersial Telekom Malaysia Berhad (TM) Anand Vijayan berkata, bola sepak adalah antara sukan utama dan mendapat tempat di hati ramai peminat sukan. 

Kerjasama terbaharu yang dijalinkan bersama TV9 membolehkan Liga Super Malaysia ditonton oleh lebih ramai penyokong sukan itu.

TV9 memulakan siaran Liga Super 2022 dengan perlawanan antara Terengganu FC dan JDT malam tadi diikuti perlawanan Kuala Lumpur City FC menentang Negeri Sembilan FC pada 8 malam, 18 Ogos ini.

Perlawanan seterusnya yang membabitkan pasukan kegemaran anda akan diumumkan melalui media sosial TV9.

Pastikan anda memberikan sokongan padu kepada pasukan-pasukan kegemaran anda yang disiarkan di TV9.

Jangan lepaskan segala maklumat terkini tentang perlawanan mendebarkan sepanjang Liga Super berlangsung! 

Ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial dan layari http://www.xtra.com.my/ untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 12:35 PM