EMMA bakal menentang Petra di pusingan ketika Indian Wells. FOTO EPA
EMMA bakal menentang Petra di pusingan ketika Indian Wells. FOTO EPA
Reuters

Indian Wells: Juara Terbuka Amerika Syarikat, Emma Raducanu tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Indian Wells selepas menewaskan Caroline Garcia dari Perancis 6-1, 3-6, 6-1.

Bintang tenis nombor satu Britain berusia 19 tahun itu lega kerana kecederaan kaki yang dialaminya dua minggu lalu tidak membataskan pergerakannya untuk menewaskan Caroline di pusingan kedua awal pagi tadi.

"Tahap intensiti perlawanan tenis sekarang sangat tinggi. Jadi saya sangat gembira kerana berjaya melepasi halangan kerana ini mungkin boleh menjadi sebaliknya.

"Caroline bermain dengan sangat pantas dan pukulan bolanya juga agak kuat. Dia membuktikannya ketika menewaskan saya dalam set kedua.

"Saya sedar perubahan perlu dilakukan dalam set ketiga jika saya mahu keluar sebagai pemenang. Percaturan saya berjaya dan mara ke pusingan seterusnya," kata Emma.

Sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat tahun lepas, Emma gagal kembali ke tahap permainan terbaiknya apabila tersingkir seawal pusingan kedua Terbuka Australia pada Januari lalu.

Pemain ranking ke-13 dunia itu juga terpaksa menarik diri ketika bertanding menentang Daria Saville di Guadalajara, Mexico dua minggu lalu disebabkan kecederaan kaki.

Selepas ini, Emma akan bertemu pemain nombor 79 dunia dari Croatia, Petra Martic yang mara selepas menundukkan wakil Slovenia, Tamara Zidansek 7-5, 7-6.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 11:51 AM