SIMONA HALEP
SIMONA HALEP
AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pemain nombor satu dunia Simona Halep mara ke pusingan ketiga kejohanan WTA Indian Wells dengan menumbangkan Kristyna Pliskova 6-4, 6-4 hari ini.

Pemain Romania berusia 26 tahun itu akan bertemu pemenang di antara pemain wildcard Amerika Syarikat Caroline Dolehide dan Dominika Cibulkova dari Slovakia.

“Saya sudah sedia bermain. Saya sudah sedia bekerja dan bertarung. Ia hari yang indah,” katanya.

“Ia bukan perlawanan yang mudah namun saya benar-benar gembira menang perlawanan pertama di sini dan berpeluang bermain sekali lagi.”

Simona dan Caroline Wozniacki kini bergilir-gilir memegang ranking nombor satu dunia.

Caroline dari Denmark mengungguli ranking nombor satu dunia selepas menjuarai Terbuka Australia tetapi Simona merampasnya sebelum kejohanan di Indian Wells.

Caroline akan beraksi dalam perlawanan pertamanya di kejohanan itu berdepan pemain kelayakan Lara Arruabarrena.

Sementara itu pilihan kesembilan Petra Kvitova memenangi perlawanan ke-14 berturut-turut untuk menyamai pencapaian terbaiknya dengan menewaskan Yulia Putintseva 6-7 (4/7), 7-6 (7/3), 6-4.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:04 PM