Emma Raducanu. FOTO AFP
Emma Raducanu. FOTO AFP
AFP

Cluj-Napoca, Romania: Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu memastikan kemenangan pertama sejak kekalahan mengejut di New York ketika pemain remaja Britain itu menewaskan Polona Hercog, di Terbuka Transylvania, awal pagi ini.

Emma, 18, bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menang, 4-6, 7-5, 6-1 selepas hampir dua jam dan 30 minit saingan pusingan pertama berdepan Polona yang berada di ranking 124 dunia dari Slovenia.

Melakukan penampilan kedua sejak Terbuka AS, Emma yang berada di ranking 23 mendahului 4-1 dalam set pertama sebelum Polona bangkit memperoleh lima mata berturut-turut.

Pemain pilihan ketiga itu berjaya memenangi saingan sengit di set kedua seterusnya menguasai aksi dalam set penentuan.

Emma dilahirkan di Kanada oleh ibu bapa dari Romania dan China akan berdepan pemain di ranking ke-106 dari Romania, Ana Bogdan.

"Sangat bermakna untuk beraksi di negara kelahiran bapa saya," kata Emma.

Emma mencuri tumpuan dunia tenis di Flushing Meadows apabila menjadi pemain pertama kelayakan memenangi kejuaraan Grand Slam.

Dia mengalami kekalahan di pusingan kedua kepada Aliaksandra Sasnovich di Indian Wells awal bulan ini bagi kejohanan pertamanya selepas Terbuka AS.

"Saya tidak fikir terdapat terlalu banyak tekanan kepada saya," kata Emma.

"Saya rasa seperti semua orang harus lebih bersabar dengan perkembangan permainan saya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 11:25 AM