FOTO Facebook Azizulhasni Awang
FOTO Facebook Azizulhasni Awang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang menamakan anak ketiganya Amna Fateema sempena nama anak bongsu Nabi Muhammad SAW.

"Kami ingin memperkenalkan kepada anda ahli terbaharu keluarga kami, junior pocketroket ketiga kami. Bayi perempuan ketiga kami dilahirkan pada 15 Februari 2022 jam 3.46 petang dan beratnya 3.458kg.

"Saya dan isteri ingin mengucapkan terima kasih atas ucapan baik anda. Ia sangat bermakna bagi kami untuk mempunyai rakan hebat yang mengambil berat mengenai kami dan keluarga kami," tulis pemenang pingat perak keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam perkongsian terbaharu di laman sosial.

"Kami memutuskan menamakannya Amna Fateema binti Mohd Azizulhasni. Amna, dalam bahasa Arab bermaksud keselamatan, perlindungan atau keamanan. Amna akan memberikan Ummi, Abbi dan dirinya kebahagiaan serta kedamaian. Fateema dalam bahasa Arab pula bermaksud menawan hati, wanita yang berpantang.

"Fateema juga anak bongsu Nabi Muhammad dan dia terkenal sebagai antara wanita terbaik dunia susulan akhlaknya yang murni, kuat dan soleh. Dikisahkan Fateema adalah penyokong dan pembela terbesar bapanya.

"Semoga Amna Fateema menjadi puteri yang soleh dan mencontohi perjuangan hebat Fateema Az-Zahra," tulis Azizul, yang hanya mengetahui berita isterinya Datin Athiah Ilyana Abd Samat hamil selepas dia meraih pingat perak di Tokyo, Ogos lalu.

Hasil perkahwinan selama lebih 12 tahun bersama Athiah Ilyana, Azizul dikurniakan dua cahaya mata perempuan Amna Maryam, 9, dan Amna Khadeeja, 6, sebelum kehadiran Amna Fateema.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 1:14 PM