ATHIAH Ilyana bersama dua anaknya, Amna Maryam, (kiri) dan Amna Khadeeja.
ATHIAH Ilyana bersama dua anaknya, Amna Maryam, (kiri) dan Amna Khadeeja.
Aida Adilah Mat


ADA suka ada duka. Setiap kejadian pasti ada hikmahnya termasuk pandemik Covid-19 yang kini mengancam dunia.

Bagi isteri pelumba basikal terkemuka negara Azizulhasni Awang, Athiah Ilyana Abdul Samat dia mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal kerana tahu tahun ini adalah tahun yang sibuk buat suaminya.

Dia perlu terima apa juga keadaan kerana Azizul berkorban demi negara, justeru memang sudah daripada awal Athiah atau mesra dengan panggilan Tya itu motivasikan diri untuk bertahan pada tahun ini di mana dia dan anak-anak, Amna Maryam dan Amna Khadeeja akan kerap berpisah dengan Azizul untuk jangka masa lama.

Malah, Tya sendiri sudah membuat persiapan melihat suami tercinta beraksi di Jepun.

Tiket kapal terbang, bilik hotel semua sudah ditempah, malah dia sendiri tidak sabar ke Olimpik buat kali pertama.

Namun seperti yang dikatakan kita hanya mampu merancang dan Allah sebaik-baik perancang.

“Alhamdulillah dengan ujian yang Allah berikan. Terbit hikmah yang lain di mana saya dapat lebih banyak masa bersama suami tercinta untuk satu masa yang agak lama.

“Semua orang tahu dia sibuk dengan latihan dan sebagainya, tetapi terjadinya Covid-19 ini, masya-Allah ini masa yang saya dapat tengok suami 24 jam tujuh kali seminggu.

“Selalunya pasti ada yang baik dalam setiap kehilangan, dalam setiap apa yang diusahakan dan setiap kesulitan atau penderitaan. Percaya pada Allah kerana Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui segalanya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 6:01 AM