Athiah (duduk memegang anak) bersama keluarga menonton aksi suaminya memecut basikal di Rio. FOTO NSTP
Athiah (duduk memegang anak) bersama keluarga menonton aksi suaminya memecut basikal di Rio. FOTO NSTP
Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Kegembiraan menyelubungi kediaman mertua Azizulhasni Awang yang berjaya ke pusingan kedua acara keirin lelaki selepas pelumba itu memenangi reperchage pusingan pertama di Rio Olimpik Velodrom, malam tadi.

Seramai 14 anggota keluarga pelumba itu berada di hadapan kaca televisyen di rumah mentuanya di Bukit Taman Meru, di sini riuh dengan jeritan kegembiraan sebaik Azizulhasni atau Jijoe mendahului saingan empat pelumba.

Mereka ialah isteri, Athiah Ilyana Datuk Samat serta dua anaknya, Amna Maryam dan Amna Khadeeja.

Turut hadir ialah ibu dan bapa mertuanya, Datuk Samat Sabri, Datin Aminah Ahmad, ibunya, Selamiah Yong serta adik iparnya, Athiah Nadhirah serta anak-anak saudara isterinya.

Lengkap berpakaian Baju T 'Go Azizul gold' mereka berada di depan kaca televisyen sejam sebelum perlumbaan.

"Risau dan berdebar menunggu perlumbaan bermula," kata Athiah.

Menurut isterinya, anak bongsu mereka, Khadeeja, 10 bulan demam manakala kakaknya, Maryam, 4 tahun baru keluar dari hospital.

"Jijoe sedihlah kerana tidak dapat bersama anaknya tetapi saya yakin semangatnya tidak terjejas," katanya.

Begitupun suasana suram seketika apabila Jijoe tewas saringan ketiga yang berlangsung kira-kira jam 9.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 12:59 AM