AZIZUL zahir keyakinan buru pingat emas di Olimpik Paris 2024.
AZIZUL zahir keyakinan buru pingat emas di Olimpik Paris 2024.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Usia tidak akan membataskan impian dan hasrat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk membuktikan beliau masih mampu menggalas tugas membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik Paris 2024.

Tugasnya di Tokyo sudah selesai pada usianya 33 tahun dengan kejayaan menjadi pelumba pertama meraih perak, kini kematangan dan pengalaman akan kembali membawa beliau meneraju dan mengetuai kontinjen negara di Paris.

Anak kelahiran Terengganu itu yakin, lagu Negaraku akan dapat berkumandang di pentas Olimpik Paris dan beliau akan berusaha ke arah itu walaupun bakal berusia 36 tahun.

Azizul menegaskan usia bukan isu utama sekiranya badan, tenaga dan keinginannya mampu untuk memacu sukan berbasikal negara ke pentas antarabangsa seterusnya melakar kejayaan demi kejayaan.

Katanya, usia tidak perlu diperdebatkan sekiranya masih mampu untuk membuktikan beliau adalah pelumba terbaik negara.

Malah, bekas pelumba terkemuka Britain, Sir Chris Hoy sudah membuktikan emas bukan satu omong kosong apabila beliau di usia 36 tahun masih lagi berjaya menyumbangkan emas kepada Britain, malah bukan satu tapi dua emas dalam acara keirin dan pecut berpasukan.

Bintang bola sepak Portugal dan pemenang anugerah Ballon d Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo masih lagi menjadi rebutan dan kelibatnya di atas padang tetap digeruni walaupun sudah berusia 36 tahun.

"Mengapa persoalkan umur kalau saya masih mampu untuk terus berjuang demi Malaysia.

"Bagi saya umur bukan isu atau penghalang. Kerana saya masih lagi mampu untuk beri yang terbaik buat negara dan menjadi pelumba nombor satu negara.

"Mungkin apabila orang berbicara pasal umur dan persaraan ia berkaitan dengan keadaan fizikal dan tahap kecederaan yang dialami mereka tapi saya tidak berdepan dengan semua itu malah, prestasi saya semakin meningkat dan lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Apa yang lebih lagi menguatkan dirinya adalah misi yang belum berjaya dilunaskan iaitu menyumbangkan emas buat negara dan semangat itu tidak pernah padam.

Katanya, dia tetap fokus dan yakin Paris akan sekali lagi menjadi perhitungan dan saksi pemburuan emas.

Ditanya apa yang bermain di fikirannya ketika ini dan perak di Olimpik Tokyo, Azizul berkata, beliau reda kerana sudah memberikan segalanya kerana itu juga adalah ketentuan Allah SWT.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang dalam misi Paris adalah, saya perlu kekal fokus dan seperti biasa selepas kejohanan utama, saya akan bincang kembali mengenai hal tuju dan program latihan dengan jurulatih (John Beasley).

"Bagi saya, semangat masih membara, keinginan itu masih ada, tak ada isu dengan fizikal, momentum pun OK jadi misi Paris akan diteruskan," katanya.

Mohd Harrif Saleh
Mohd Harrif Saleh

Harrif anggap usia faktor kelima

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal lebuh raya, Mohd Harrif Saleh menganggap usia hanya faktor sampingan dalam usaha mengejar kegemilangan di peringkat dunia.

Bagi pelumba berusia 32 tahun itu, usia bukan faktor utama penentu kejayaan seseorang atlet itu.

"Jika tanya saya, umur ini adalah faktor keempat atau kelima. Dalam sukan berbasikal umur tak jadi masalah. Ada faktor yang lebih penting untuk terus kekal dalam sukan ini.

"Kita kena ada sasaran betul untuk bawa kita pergi lebih jauh dan itu yang penting. Macam saya, saya letakkan sasaran untuk menang di LTdL (Le Tour de Langkawi). Jadi saya fokus ke arah itu.

"Kalau macam sekarang pun tak ada perlumbaan tapi bila latihan, saya akan buat betul-betul. Saya akan anggap latihan itu sebagai perlumbaan untuk kekal fokus berada di landasan yang saya mahukan," katanya.

Selain itu, Harrif atau dikenali dengan panggilan Mamat itu berkata, dia yakin pengalaman juga memainkan peranan utama kerana ia mengajar bagaimana seseorang pelumba itu mengawal emosi.

"Bagi saya pengalaman itu lagi berharga daripada segalanya. Maksudnya pengalaman seiring dengan usia menjadikan kita lebih berjaya.

"Saya yakin, pengalaman yang Azizul (Datuk Azizulhasni Awang) ada itu membawa dia berjaya seperti sekarang ini. Dia tahu bagaimana untuk mengawal keadaan bila berada dalam keadaan tekanan yang sangat tinggi," katanya.

Terdahulu Harrif turut mencetuskan impak berbeza apabila menjadi pelumba tempatan pertama merangkul dua kemenangan peringkat pada siri perlumbaan berstatus kelas dunia, LTdL tahun lalu.

Hingga kini belum ada mana-mana pelumba tempatan yang mencapai tahap kejayaan seperti Harrif dalam acara lebuh raya.

Harrif turut melakarkan nama muncul sebagai pelumba negara pertama menang perlumbaan di Eropah apabila mengungguli saingan di Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Grand Prix (GP) Manavgat di Turki, Februari lalu.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menegaskan dia meletakkan sasaran untuk berkayuh bersama pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

Namun selagi dia mampu untuk memberi komitmen, Harrif menegaskan tiada apa yang akan menghalang dia mengharumkan nama negara.

Malah sekiranya dipanggil oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk beraksi dalam acara trek, Harrif menegaskan tiada masalah bagi dirinya kerana dia sedia berbakti untuk Malaysia.

Aspek sains sukan kunci kejayaan

Kuala Lumpur: Kejayaan Datuk Azizulhasni Awang di Olimpik Tokyo membuktikan keberkesanan kepakaran sains sukan boleh membantu seseorang atlet itu melakar kegemilangan walaupun sudah menginjak usia 30-an.

Penyelidikan terhadap pelumba yang dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman itu bukan bermula setahun lalu, malah sudah dilakukan sejak 2016 dan membuktikan konsep anthropometrical superiority sejak awal 1990-an berasas.

Menerusi kajian dalam bidang berkaitan, Azizul sudah bergelar juara dunia bagi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia pada 2017.

Perancangan untuk Azizul di Tokyo sudah dimulakan sejak 2016 lagi sejurus beliau merangkul gangsa dalam acara keirin di Olimpik Rio.

Anthropometrical superiority merujuk kepada konsep saiz dan bentuk fizikal sentiasa beri kelebihan dalam sukan dan mendapatkan saiz basikal bersesuaian dengan bentuk tubuhnya.

Team Lead Sukan Berbasikal Olimpik menjalankan penilaian terhadap setiap aspek yang boleh membantu memaksimumkan apa jua potensi dimiliki Azizul ke arah pencapaian prestasi tertinggi.

Azizul, pelumba bertubuh kecil kini, dikenali di seluruh dunia dengan kemampuan dan keberaniannya untuk meluncur laju menakluk velodrom.

Di sebalik apa yang dimiliki oleh Azizul wujudnya seorang pakar sains sukan yang diamanahkan untuk menguruskan jaguh berbasikal negara itu.

Beliau adalah Chee Lee Ming. Watak penting yang diberi tanggungjawab untuk menjaga segala keperluan dari sudut sains sukan secara menyeluruh.

Segala aspek sains sukan akan diuruskan oleh Lee Ming yang diakui sendiri oleh Azizul antara anjakan paradigma untuk meningkatkan prestasinya.

Lee Ming berkata, apa yang dicapai hari ini adalah melalui kerjasama satu pasukan yang hebat.

"Ini bukan hanya satu pasukan hebat yang pernah saya bekerjasama, mereka adalah keluarga saya. Keluarga yang sebenar akan terus kekal bersama dan saling menyokong antara satu sama lain dalam apa juga situasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 7:01 AM