ABU Samah membayangkan kehebatan gandingan trio pecut terbaik negara itu pada masa depan. FOTO NSTP
ABU Samah membayangkan kehebatan gandingan trio pecut terbaik negara itu pada masa depan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad berbasikal negara berupaya membentuk trio pecut terbaik yang mampu menggegar dunia berikutan kejayaan Fadhil Zonis memenangi pingat emas dalam acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara di Hong Kong, baru-baru ini.

Andai pelumba pecut nombor satu dunia, Azizulhasni Awang masih belum memikirkan persaraan, skuad berbasikal negara mungkin boleh menyasarkan sasaran merangkul pingat di temasya Olimpik Paris 2024 dalam acara pecut berpasukan.

Itu pandangan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab yang membayangkan kehebatan gandingan trio pecut terbaik negara itu pada masa depan.

Abu Samah berkata, andai bukan Olimpik, pelumba negara yang terdiri daripada Azizul, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil sudah boleh memberi fokus untuk temasya Komanwel dan Asia dalam acara itu.

"Saya tak pasti apa rancangan Azizul sama ada dia akan terus mewakili negara hingga Olimpik Paris atau tidak.

"Jika dia (Azizul) masih ingin berlumba maka, kita sudah boleh memberi tumpuan kepada acara pecut berpasukan kerana kita boleh membentuk trio yang kuat.

"Kejayaan Fadhil di Hong Kong memang satu yang membanggakan. Dia sudah membuktikan kemampuannya dan mampu menjadi pelapis kepada Azizul dan berjuang bersama-sama Shah Firdaus," katanya.

Fadhil yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa berjaya menggegarkan Velodrome Hong Kong dengan namanya kini sebaris dengan pelumba lebih senior dan berpengalaman iaitu Azizulhasni dan Rizal Tisin.

Dalam acara final keirin itu, Fadhil, 24, berjaya mengatasi dua pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dan Yudai Nitta untuk meraih pingat emas yang menyaksikan Wakimoto dan Nitta menghuni tempat kedua dan ketiga.

Dia turut menaiki podium apabila meraih perak dalam acara 1km ujian masa individu lelaki apabila mencatatkan masa 1 minit 1.772 saat, namun terkandas di suku akhir acara pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 9:44 PM