HARRIF gegar bumi Turki dengan muncul juara GP Manavgat sebentar tadi. FOTO Ihsan Sharon Jane
HARRIF gegar bumi Turki dengan muncul juara GP Manavgat sebentar tadi. FOTO Ihsan Sharon Jane
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Geng basikal Terengganu bukan 'kaleng-kaleng' apabila tidak sampai 24 jam Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berjaya memenangi pingat emas dalam kejohanan Pecut Victoria, seorang lagi anak jati Terengganu Harrif Saleh mengikut jejak langkahnya dengan berjaya menjuarai Grand Prix (GP) Manavgat, di Turki, sebentar tadi.

Walaupun hampir setahun tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif namun bagi Harrif itu bukanlah masalah untuk mencipta kejayaan pada perlumbaan sejauh 149 kilometer.

Harrif yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) berkata, dia bangkit memberi saingan kepada pelumba lain walaupun pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi memenangi perlumbaan pertama itu.

"Saya berjaya membuktikan walaupun sudah lebih setahun tidak menyertai sebarang kejohanan namun mampu memberi saingan. Ini juga membuktikan rakyat Malaysia dan Terengganu boleh memberi saingan kepada pelumba lain," katanya.

Kemenangan itu sekali gus membuka lembaran baharu buat TSG untuk musim 2021 apabila berjaya menggegarkan benua Eropah pada penyertaan pertama pada tahun ini.

Terdahulu, The Pocket Rocketman cukup sukar digugat oleh pelumba lain sekali gus memastikan pingat emas menjadi miliknya kejohanan Pecut Victoria di Australia hari ini.

Pingat emas yang dimenangi Azizul sekali gus memberi petanda positif dalam usahanya memburu emas Olimpik sulung negara di Tokyo pada Julai depan, selepas mengakhiri musim 2020 penuh bergaya dengan meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lalu.

Pada perlumbaan terbabit Azizul mencatatkan masa 10.126 saat namun masih lagi jauh berbanding catatan masa terbaiknya iaitu 9.548s peribadinya tetapi masih sudah cukup untuk berada di kedudukan pertama di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 10:33 PM