AZIZUL menjadi sandaran pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AZIZUL menjadi sandaran pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


TIADA isu membabitkan usia pelumba basikal negara Azizulhasni Awang menjelang Sukan Olimpik tahun hadapan di Tokyo.

Usia tidak akan menjadi halangan buat The Pocket Rocketman itu malah ia mampu menjadi lonjakkan buat Azizul atau mesra disapa Jijoe melakar sejarah merangkul emas pertama di temasya berkenaan.

Malah jurulatih negara, John Beasley berkata penundaan tarikh Olimpik Tokyo selama setahun itu akan menjadikan Azizul lebih kuat dan menjadi lebih baik daripada apa yang dia miliki ketika ini.

“Azizul tidak hanya akan mengekalkan keadaan fizikalnya tapi saya akan memastikan dia mendapatkan yang lebih baik daripada apa yang dia ada sekarang ini.

“Dalam sukan berbasikal, usia Azizul yang meningkat itu bukan masalah dan dia belum dikategorikan sebagai berusia malah saya yakin dia mampu untuk layak sekali lagi ke Olimpik seterusnya di Paris pada 2024 nanti,” katanya.

Sebelum ini pelumba Britain, Chris Hoy masih mampu untuk merangkul dua emas pada usianya 36 tahun ketika beraksi di Sukan Olimpik London menerusi acara keirin dan pecut berpasukan dan Azizul pula akan berusia 33 tahun depan.

Begitupun apa yang perlu dibimbangkan ketika ini bagaimana untuk memastikan Azizul sentiasa cergas tanpa ada sebarang kecederaan untuk tempoh setahun ini.

“Selagi Azizul mempunyai keinginan dan terus bermotivasi untuk bekerja keras, dia akan terus bertambah baik dalam tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 7:16 PM