HARRIF (kiri) bersama Azizul (kanan) dan Josiah Ng. FOTO FB Harrif Saleh
HARRIF (kiri) bersama Azizul (kanan) dan Josiah Ng. FOTO FB Harrif Saleh
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ramai peminat dan warganet tidak menyedari atau lupa jaguh acara jelajah Mohd Harrif Saleh sebenarnya pernah menyertai acara trek dan memenangi beberapa pingat emas pada Sukan Sea dan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC).

"Ramai orang tanya saya... kenapa Abang Mat tak masuk acara trek? Sebenarnya saya bermula dari acara trek dan banyak melakar kejayaan dalam acara ini," katanya memulakan status di laman Facebook susulan banyak pertanyaan daripada peminat dan warganet mengenainya.

Persoalan itu ditimbulkan peminat ketika rakan senegerinya Datuk Azizulhasni Awang memulakan kempen merebut pingat pada temasya Sukan Olimpik Tokyo yang berakhir dengan pingat perak.

Harrif, 32, yang muda setahun berbanding Azizul, menceritakan dia memulakan karier dalam acara trek pada Kejohanan Remaja Asia di India pada 2005 dan memenangi pingat emas dalam acara scratch serta pecut berpasukan bersama Azizul.

HARRIF ketika menyertai  Kejohanan ACC di Velodrom Cheras.
HARRIF ketika menyertai Kejohanan ACC di Velodrom Cheras.

Pada Sukan Sea Korat 2007, dia meraih emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan bersama Amir Mustafa Rusli, Mohammad Akmal Amrun dan Mohd Jasmin Ruslan.

Pada tahun sama, dia turut menang emas acara kegemarannya scratch pada Kejohanan ACC di Bangkok.

"Kejayaan di Bangkok itu satu kenangan amat manis buat saya kerana menang dalam kategori senior. Tahun berikutnya, saya layak ke kejohanan dunia di Manchester, England tapi masa itu mungkin kerana faktor usia terlalu muda, saya tak dapat menghabiskan perlumbaan," tulisnya.

Harrif berkata, dia pernah mendapat tawaran Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjalani latihan di Melbourne bersama pasukan negara dan di situ dia menimba banyak ilmu berbasikal trek daripada jurulatih negara, John Beasley.

"Pada 2011, saya fokus dalam acara lebuh raya bersama pasukan saya Terengganu Cycling Team (TSG) dan pada tahun itulah juga kenangan manis buat saya memenangi tangga ketiga pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).''

Pada tahun sama, dia memenangi dua pingat emas pada Sukan Sea Jakarta-Palembang dalam acara 10km perlumbaan scratch dan 4km kejar-mengejar berpasukan bersama Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa dan Akmal.

"Pada 2012 saya teringin sangat nak masuk acara trek dan bertanding pada ACC di Malaysia (Velodrom Kuala Lumpur, Cheras). Alhamdulillah saya meraih gangsa dalam acara scratch selepas tayar basikal saya bocor," katanya.

Harrif mengimbau kenangan paling manis dalam acara trek buatnya apabila dia bertanding dalam acara kegemarannya scratch pada Kejohanan Trek Dunia Melbourne 2012.

"Saya menduduki tempat ke-17. Kali pertama berlumba pada kejohanan dunia masa itu. Kesilapan saya mungkin gear terlalu ringan sebab tak ada pengalaman langsung bersaing dengan pelumba Mat Saleh. Memang lajulah kalau berlumba pada kejohanan dunia."

Sejak itu dia meninggalkan acara trek sekali gus menumpukan 100 peratus kepada perlumbaan lebuh raya namun dia menyatakan kesediaan untuk kembali berkayuh dalam acara trek jika khidmatnya diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 12:40 PM