PEMAIN Serbia, Novak Djokovic mengucup trofi Wimbledon selepas menewaskan pemain Itali, Matteo Berrettini di final perseorangan lelaki, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Serbia, Novak Djokovic mengucup trofi Wimbledon selepas menewaskan pemain Itali, Matteo Berrettini di final perseorangan lelaki, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Novak Djokovic memenangi gelaran keenam Wimbledon dan menyamai rekod kejuaraan ke-20 Grand Slam apabila menewaskan pemain Itali, Matteo Berrettini dalam pertarungan empat set, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu menang 6-7 (4/7), 6-4, 6-4, 6-3 untuk menyamai pencapaian 20 gelaran kejuaraan utama dimenangi Roger Federer dan Rafael Nadal.

Kemenangan itu menyaksikan dia semakin hampir memenangi semua empat gelaran dalam kalendar Grand Slam sejak 1969.

Kejuaraan keenam di All England Club itu adalah final ke-30 buat Djokovic, selepas menang sembilan kali di Terbuka Australia, dua kali di Roland Garros serta tiga kali di Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Sekiranya menang gelaran keempat di New York, September ini, dia akan menjadi pemain lelaki ketiga dalam sejarah selepas Don Budge (1938) dan Rod Laver (1962 dan 1969) melengkapkan kemenangan empat acara Grand Slam semusim.

"Ia lebih kepada peperangan. Dia memang tukul Itali sejati dan saya merasakan keperitannya," kata Djokovic mengenai Berrettini.

"Ini bermakna tiada di antara kami akan mengalah. Roger dan Rafa sendiri adalah legenda dan mereka adalah sebab saya berada di sini, hari ini."

Pemain Serb itu memiliki 85 gelaran dalam kariernya dan menjadi pemain lelaki pertama melepasi pencapaian hadiah kemenangan sebanyak RM627 juta (AS$150 juta).

Sekiranya menang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo, dia akan menjadi pemain lelaki pertama memenangi 'Golden Grand Slam'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 1:17 AM