ERIC (kiri) dan Ilanggo dilantik oleh FIH untuk mengadili kejohanan itu. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
ERIC (kiri) dan Ilanggo dilantik oleh FIH untuk mengadili kejohanan itu. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berbesar hati dengan penghormatan yang diberikan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) apabila melantik dua pengadil daripada Malaysia iaitu K Ilanggo dan Eric Koh untuk bertugas di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021, Bhubaneswar, India.

Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 akan membuka tirai pada 24 November hingga 5 Disember 2021 dan perlantikan dua pengadil daripada Malaysia oleh FIH membuktikan bahawa pengadil daripada Malaysia mempunyai kualiti yang tersendiri sehingga mendapat kepercayaan daripada badan induk hoki dunia itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil MHC, Ranjit Singh melihat lantikan dua pengadil daripada Malaysia ini boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk pengadil yang lain agar meningkatkan prestasi mereka untuk turut dilantik bagi mengadili kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.

"Saya bagi pihak jawatankuasa berasa bangga kerana ada dua pengadil Malaysia yang bertugas di Piala Dunia Remaja dan kami sangat berbangga dengan mereka.

"Saya berharap dengan adanya dua pengadil daripada Malaysia di Piala Dunia Remaja ini akan menjadi pendorong kepada pengadil yang lain untuk meningkatkan lagi prestasi mereka agar mereka juga boleh dinaiktaraf.

"Pada mulanya Ilanggo dilantik oleh FIH untuk mengadili kejohanan itu namun selepas pengadil daripada Australia menarik diri ekoran pandemik Covid-19, FIH melantik Eric. Ini menyaksikan edisi Piala Dunia Remaja Lelaki kali ini, terdapat dua pengadil daripada Malaysia akan mengadili kejohanan berkenaan.

"Sebelum ini kami menghantar Ilanggo untuk bersama Skuad Senior Lelaki Kebangsaan di Siri Jelajah United Kingdom 2021 untuk mengadili perlawanan di sana termasuk perlawanan ujian sebagai salah satu persediaan buatnya. Sedikit sebanyak pengalaman di sana diharap akan membantu Ilanggo sebelum mengadili perlawanan di Piala Dunia Remaja Lelaki.

"Ketika membuat keputusan untuk menghantar Ilanggo bersama Pasukan Kebangsaan, Eric masih belum dilantik oleh pihak FIH, kerana itu, kami hanya menghantar Ilanggo.

"Bagaimanapun Eric adalah seorang pengadil yang cukup berpengalaman dan pernah mengadili Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki 2018 juga di Bhubaneswar, India. Jadi pengalaman Eric tentu akan membantu beliau dan kedua-dua pengadil kini telah bersedia sepenuhnya menjelang kejohanan itu.

Perlantikan Ilanggo dan Eric menjadi satu kebanggaan buat dan MHC mengucapkan tahniah buat Ilanggo dan Eric serta selamat menjalankan tugas dengan baik di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021, Bhubaneswar, India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 6:13 PM