Pemain Belanda meraikan jaringan berdepan Malaysia. FOTO FIH
Pemain Belanda meraikan jaringan berdepan Malaysia. FOTO FIH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara terpaksa akur akan kehebatan pasukan Belanda apabila tewas 3-9 dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan Piala Dunia Remaja yang berlangsung di Bhubaneswar, India.

Belanda nyata garang dan mudah meratah skuad bimbingan Wallace Tan apabila membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan padang oleh Miles Bukkens dan meledakkan dua lagi jaringan pada suku pertama untuk menjadikan kedudukan 0-3 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Belanda terus ghairah memburu gol memasuki babak kedua dengan menambah derita skuad negara apabila menjaringkan tiga lagi gol untuk menjadikan kedudukan 0-6.

Pemain negara Muhammad Fahmi Khalid berjaya meledakkan gol pertama negara minit ke-41 menerusi pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 1-6.

Namun memasuki suku keempat pasukan Belanda terus menjarakkan kedudukan apabila menambah tiga lagi gol.

Skuad negara bagaimanapun berjaya menambah dua lagi gol pada suku terakhir menerusi kapten pasukan negara, Muhammad Akhimullah Anuar Esook minit ke-59 dan Noor Firdaus Rosdi minit ke-60 menerusi jaringan padang dan kedudukan 3-9 kekal sehingga wisel penamat.

Malaysia selepas ini akan turun pada penentuan klasifikasi tujuh lapan. Pada edisi 2016 skuad Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dan terpaksa akur berada di kedudukan ke-11.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:30 PM