ROSLAN bakal bimbing THT untuk saingan MHL. FOTO Osman Adnan
ROSLAN bakal bimbing THT untuk saingan MHL. FOTO Osman Adnan
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Roslan Jamaluddin dilantik sebagai pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang baharu bagi mengharungi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, pelantikan bekas penjaga gol berpengalaman kebangsaan itu diyakini mampu memberikan impak yang positif buat pasukan.

Beliau berkata, pengalaman luas yang dimiliki jurulatih berusia 44 tahun itu bakal menjadi aset penting buat pasukan THT untuk mengintai kejuaraan saingan berprestij dalam negara itu terutama dalam pentas liga.

"Jawatankuasa pemilihan dan PHNT bersetuju untuk melantik bekas pemain kebangsaan itu memikul amanah sebagai ketua jurulatih skuad THT musim ini.

"Kami yakin dengan pengalaman luas beliau sebagai pemain dan jurulatih, ianya mampu memacu dan meneruskan kejayaan dan kecemerlangan buat pasukan.

"Kita harapkan pemain yang disenaraikan nanti dapat berguru bersama jurulatih berpengalaman itu dengan sebaik mungkin bagi memastikan misi kita untuk merangkul Piala TNB dan liga tercapai.

"Kita juga turut mengharapkan jurulatih itu dapat memperbaiki rekod musim lalu terutama dalam saingan liga selain mengekalkan kejuaraan dalam Piala TNB," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sepanjang kariernya, Roslan, 44, anak kelahiran Perak melakukan 253 penampilan bersama skuad kebangsaan bermula 1998 hingga 2015.

Beliau pernah membantu skuad Perak muncul juara Piala Tun Abdul Razak pada 2020 selepas menewaskan Terengganu 4-2 pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Berdasarkan rekod musim lalu, skuad THT kendalian bekas jurulatih Singapura, K Rajan muncul juara Piala TNB selepas berjaya menumpaskan musuh tradisinya, pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan kemenangan 2-0 melalui penentuan penalti selepas kedudukan masa sebenar terikat 4-4, bagaimanapun dalam aksi liga, skuad itu hanya berpuas hati sebagai naib juara di belakang juara bertahan, UniKL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 12:56 PM