MD Dali tak mahu insiden gaduh ketika perlawanan berulang.
MD Dali tak mahu insiden gaduh ketika perlawanan berulang.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Pemain dan pegawai berlagak 'samseng' dalam saingan liga tempatan khususnya di saingan liga bawahan akan ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid yang mengakui satu perubahan besar akan dilaksanakan musim ini terutamanya berkenaan soal keselamatan.

Katanya, saingan Liga M3, M4, M5 dan Piala Presiden serta Piala Belia akan diawasi pihak polis bagi menangani isu pergaduhan yang sering berlaku musim lalu.

Ujarnya, FAM memandang serius perkara terbabit dan hasil perbincangan bersama pasukan polis menyaksikan setiap venue perlawanan akan didatangi pihak berkuasa.

"Untuk makluman semua, saya sebagai Timbalan Pengerusi Keselamatan (FAM), PDRM mengambil berat isu-isu pergaduhan yang berlaku sama ada perlawanan M3, Piala Presiden, Piala Belia, M4, dan M5 yang bermain di gelanggang terbuka.

"Untuk tahun ini kita Jawatankuasa Keselamatan sudah mengadakan mesyuarat dan PDRM akan menempatkan anggota di semua venue di mana pertandingan dilangsungkan.

"Itu langkah diambil terutama di gelanggang terbuka, kita memang mengambil berat perkara ini. Kita tak mahu insiden-insiden seperti mana tahun lepas berulang lagi tahun ini. Jadi kita ambil tegas atas insiden yang berlaku sebelum ini agar tidak berulang," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran bola rasmi Piala Presiden, Piala Belia, Liga Wanita Nasional dan Piala Tun Sharifah Rodziah 2024 di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, insiden ganas kerap mewarnai saingan liga bawahan termasuk liga komuniti sepanjang musim lalu.

Pergaduhan bukan saja babitkan antara pemain atau serangan ke atas pengadil, malah penonton di tepi padang juga dilaporkan bergaduh ekoran ketidak puasan hati dengan pengadil mahupun provokasi penyokong lawan.

Susulan insiden demi insiden itu, beberapa kes menyaksikan mangsa teruk dibelasah hingga mendatangkan kecederaan dan akhirnya dirujuk kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:43 PM