DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO OWEE AH CHUN
DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) memberi amaran kepada operator liga komuniti agar menitik beratkan soal keselamatan terutama insiden tumbuk menumbuk atau pergaduhan daripada berulang.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya sedia menimbangkan hukuman berat ke atas pengendali liga komuniti dengan menyenarai hitamkan pihak terbabit daripada mengendalikan liga di kawasan masing-masing.

Katanya, insiden pergaduhan yang kerap berlaku akhir-akhir ini babitkan liga amatur atau liga sosial harus ditangani sebaiknya dengan mengetatkan kawalan keselamatan di setiap venue perlawanan.

"Kita sedia menimbangkan untuk menyenarai hitamkan penganjur yang gagal menyediakan kawalan keselamatan yang sewajarnya.

"Kita tidak mahu masalah pergaduhan berlaku di masa depan kerana ia boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan.

"Jadi saya harap kita boleh letak syarat agar setiap penganjur memastikan adanya pihak berkuasa di tepi padang supaya insiden kejar pengadil atau pergaduhan dapat dielakkan," katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini, insiden ganas kerap mewarnai saingan liga komuniti sepanjang musim lalu.

Pergaduhan bukan saja babitkan antara pemain atau serangan ke atas pengadil, malah penonton di tepi padang juga dilaporkan bergaduh ekoran ketidak puasan hati dengan pengadil mahupun provokasi penyokong lawan.

Susulan insiden demi insiden itu, beberapa kes menyaksikan mangsa teruk dibelasah hingga mendatangkan kecederaan dan akhirnya dirujuk kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 4:02 PM