HAMIDIN (dua dari kanan) melihat bola Puma sambil diperhatikan Steven (dua dri kiri) dan Tony (kanan). FOTO FB FAM
HAMIDIN (dua dari kanan) melihat bola Puma sambil diperhatikan Steven (dua dri kiri) dan Tony (kanan). FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Shah Alam: Pengadil bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bakal mengendalikan aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Langkah itu bagi memastikan aksi final itu berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi membabitkan keputusan perlawanan yang dikhuatiri menyebelahi sebelah pihak.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sedang menilai beberapa calon untuk ditugaskan pada perlawanan itu nanti.

Jelasnya, pihaknya sentiasa mahukan yang terbaik untuk memastikan perjalanan final dalam dilangsungkan secara lancar tanpa timbul sebarang isu berbangkit.

"Kita sudah senaraikan pengadil terbaik iaitu mereka yang berkelas Fifa. Insya-Allah pengadil yang dipilih nanti adalah yang terbaik untuk adili final Piala Malaysia," katanya selepas Majlis Pengumuman Kerjasama antara FAM dan jenama barangan sukan, Puma di Shah Alam, hari ini.

Majlis perjanjian itu disaksikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Hadir sama, Pengurus Besar Puma Malaysia, Steven Tan; Pengasas Active Sports Centre, Tony Annantbir Singh Chopra dan Pengurus Active Sports Centre, S Murugeson.

Dalam majlis itu, Puma bakal tampil menaja empat pertandingan anjuran FAM mulai musim depan.

Penajaan itu membabitkan barangan berupa bola Orbita FAM 2 dan akan digunakan dalam saingan Piala Belia, Piala Presiden, Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi musim 2023.

Hamidin percaya kerjasama ini mampu meningkatkan lagi kualiti bola sepak tempatan.

"Menerusi kerjasama ini, sudah tentu ia dapat mengangkat kualiti pembangunan bola sepak belia dan wanita negara selain dapat menarik lagi penaja antarabangsa untuk berkolaborasi bersama FAM.

"Ini menjadi pengiktirafan tertinggi syarikat swasta seperti Puma dan Active Sports terhadap pembangunan bola sepak Malaysia yang pasti dapat membantu FAM dalam mengenal pasti bakat baharu untuk mewakili negara pada masa hadapan," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 6:30 PM