STUART (kiri) berebut bola dengan pemain Nepal pada perlawanan antarabangsa secara tertutup yang menyaksikan Harimau Malaya menang 5-1, Jumaat lalu. FOTO FB FAM
STUART (kiri) berebut bola dengan pemain Nepal pada perlawanan antarabangsa secara tertutup yang menyaksikan Harimau Malaya menang 5-1, Jumaat lalu. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapa sangka arkitek tengah skuad Harimau Malaya, Stuart Wilkin sebenarnya bermula sebagai penjaga gol dan bukanlah pemain tengah.

Ia dikongsikan oleh pemain itu kepada portal Fifa mengenai perjalanan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak profesional bersama Sabah FC dan pasukan kebangsaan Malaysia.

"Apabila saya mula bermain semasa kanak-kanak, saya benar-benar pemalu. Apabila tiba masanya untuk memilih posisi, semua orang keluar padang dan tiada penjaga gol, jadi di situlah mereka meletakkan saya.

"Saya akhirnya beraksi selama beberapa musim sebelum kebanyakan pemain bagus pergi dan saya bertanya kepada jurulatih jika saya boleh diletakkan pada posisi lain.

"Mereka akhirnya memainkan saya sebagai penyerang ketika berusia 10-12 tahun dan saya mula kerap menjaringkan gol dan di situlah semuanya bermula," katanya.

Stuart, 26, antara tunjang belakang kekuatan skuad Harimau Malaya di Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu kini bersama pasukan di Muscat dalam misi memburu mata menentang Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Jumaat ini.

Dia yang memiliki darah kacukan dari sebelah ibunya adalah bekas produk akademi bola sepak Southampton di England.

Menceritakan bagaimana permulaan beraksi di Malaysia, Stuart mengakui segala-galanya berlaku pada 2020 apabila namanya dikaitkan dan boleh menyarung jersi Harimau Malaya.

Dia pada mulanya menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2021-2022, sebelum dipinjamkan ke Sabah FC dan kekal bersama skuad The Rhinos pada musim lalu.

"Saya mempunyai ejen di England yang hadir ke sekolah bersama Junior dan nama saya disebut-sebut.

"Beberapa panggilan telah dibuat di Malaysia dan sebelum saya sedar mempunyai peluang untuk pergi dan menjalani sesi percubaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 5:07 PM