DARREN kembali beraksi di bawah kendalian Kim Swee.
DARREN kembali beraksi di bawah kendalian Kim Swee.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sabah FC bakal tampil ampuh dan boleh dianggap sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Super musim depan selepas pasukan itu merekrut tiga pemain skuad Harimau Malaya.

Pemain berkualiti yang berjaya dipikat itu adalah penyerang Petaling Jaya City FC (PJ City), Darren Lok, pertahanan tengah Kuala Lumpur City (KL City), Irfan Zakaria dan pemain JDT, Stuart Wilkin.

Ia disahkan kelab itu menerusi satu pengumuman yang dimuat naik di laman sosial Sabah FC.

"Pemenang Piala Malaysia yang bermain di posisi bek tengah dan bertahan tengah. Selamat datang ke Negeri Di bawah Bayu Irfan Zakaria," kata kelab itu yang sebelum itu turut mengumumkan kehadiran Lok dan Wilkin.

Kemasukan trio baharu itu pastinya menambah sengat dalam pasukan itu yang turut bersaing di Piala AFC musim depan selepas menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super musim ini.

Kehadiran Darren khususnya di bahagian depan akan menambah kekuatan pasukan di mana ketajaman pemain kacukan itu sudah terbukti apabila meledak 12 gol bersama PJ City sebelum ini.

Malah, kemasukan tonggak terbabit juga dilihat tidak mendatangkan masalah besar terutama dalam mengadaptasi corak permainan Datuk Ong Kim Swee di Sabah.

Ini kerana, Kim Swee sebelum ini pernah melatih pemain terbabit ketika membimbing skuad senior Harimau Malaya dan skuad B-23 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 6:17 PM