WILKIN (kanan) berebut bola dengan pemain Jordan, Ali Olwani ketika perlawanan pembukaan Kumpulan E, awal pagi Selasa lalu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
WILKIN (kanan) berebut bola dengan pemain Jordan, Ali Olwani ketika perlawanan pembukaan Kumpulan E, awal pagi Selasa lalu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


Doha: Tonggak warisan negara, Stuart Wilkin enggan rakan sepasukan melakukan kesilapan sama apabila berdepan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad, di sini, Sabtu ini.

Jelas pemain tengah Sabah FC itu, kelemahan yang terpampang ketika tewas 0-4 di tangan Jordan, awal pagi Selasa lalu (waktu Malaysia) perlu diambil iktibar agar ia tidak berulang lagi.

"Jordan menggunakan pengalaman yang mereka ada untuk menewaskan kami.

"Jordan memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang hadir di babak pertama dan ia bawa impak positif kepada mereka.

"Kami perlu atasi kelemahan dan belajar sesuatu supaya tidak melakukan perkara sama dalam perlawanan berikutnya dengan Bahrain," katanya yang berdarah kacukan Malaysia-England.

Pada aksi pertama dengan Jordan, Wilkin muncul satu-satunya pemain negara paling menyerlah sepanjang aksi itu.

Dia turut memiliki beberapa peluang menjaringkan gol termasuk percubaan luar kotak penalti yang hampir menggegar gawang Jordan.

Pasukan negara wajib menang pada aksi kedua bertemu Bahrain, Sabtu ini dan lawan sebelum ini tumbang 0-3 di tangan Korea Selatan dalam Kumpulan E itu.

Kedua-dua pasukan pastinya mahukan kemenangan termasuk skuad Harimau Malaya yang kemudiannya bakal berdepan ujian lebih getir menentang skuad Taegeuk Warriors yang diketuai Son Heung-min pada aksi terakhir kumpulan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 2:13 PM