STUART Wilkin (dua kanan) antara tonggak utama Harimau Malaya. FOTO BERNAMA
STUART Wilkin (dua kanan) antara tonggak utama Harimau Malaya. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persaingan dalam skuad Harimau Malaya bertambah sengit sekali gus menuntut pemain mempamerkan aksi terbaik jika mahu dipilih membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan kelak.

Arkitek skuad kebangsaan, Stuart Wilkin berkata, persaingan sengit adalah baik kerana setiap pemain sudah pastinya tidak mahu melakukan kesilapan selain turut berusaha keras untuk memenangi hati barisan kejurulatihan.

Wilkin yang juga tonggak Sabah FC berkata, ketika ini terdapat enam pemain lain yang boleh beraksi di bahagian tengah iaitu membabitkan Afiq Fazail, Natxo Insa, Syamer Kutty Abba, Endrick Dos Santos, Brendan Gan, dan Paulo Josue.

"Kita dapat lihat bahawa posisi tengah sangat kompetitif, dengan pemain hebat seperti ini dalam senarai panggilan dan juga yang tidak terpilih.

"Saya percaya kepada barisan kejurulatihan untuk membuat keputusan, yang dapat saya lakukan hanyalah terus bekerja keras dalam latihan dan cuba untuk konsisten dalam persembahan saya apabila ada peluang untuk bermain dalam perlawanan.

"Ini adalah pemain di peringkat tertinggi kita ketahui beraksi dalam Liga Super. Pertambahan pemain cukup bagus kerana boleh menggunakan kekuatan mereka pada perlawana Piala Asia Januari ini," katanya.

Selain itu, pemain kelahiran England berusia 25 tahun itu berkata, dia sudah bersedia melapor diri pada hari pertama kem latihan yang akan bermula Selasa ini.

"Ini adalah satu tahun di mana jadual penuh dengan perlawanan dan perjalanan untuk kedua-duanya iaitu Sabah (Liga Malaysia dan Piala AFC) dan pasukan kebangsaan.

"Adalah baik untuk mendapat cuti singkat untuk melepaskan penat selepas musim berakhir dan sekarang saya bersedia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan," katanya.

Mengikut rekod, Malaysia yang berada diranking 130 dunia diundi dalam kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan pada aksi Piala Asia Januari ini.

Malaysia akan berdepan Jordan dalam perlawanan pembuka pada 16 Januari diikuti oleh Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 3:51 PM