Lee Tuck sedia serah pasport untuk sarung jersi Harimau Malaya. FOTO NSTP
Lee Tuck sedia serah pasport untuk sarung jersi Harimau Malaya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck mengakui bersedia pada bila-bila masa menyerahkan pasportnya dan menggunakan pasport Malaysia bagi membolehkannya menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Tegas pemain berdarah campuran England-Malaysia itu, syarat untuk bergelar pemain kebangsaan dengan melepaskan pasport bukan suatu masalah besar padanya yang tetap setia menanti 'lampu hijau' daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyatakan Tuck perlu melepaskan kerakyatan sedia dengan menggunakan pasport negara ini.

"Ia saya akan buat (serahkan pasport) kalau itu boleh membuatkan saya menjadi pemain Malaysia.

"Memang menjadi hasrat saya dari awal untuk bermain dengan Malaysia yang saya anggap sebagai negara sendiri. Hati dan jiwa saya di sini, dan ia tetap sama takkan berubah," katanya kepada Sukan NSTP ketika ditemui pada aksi persahabatan bertemu UKM FC di Bangi, baru-baru ini.

Sebelum ini, FAM menyatakan minat untuk mendaftarkan Tuck sebagai pemain tempatan sekali gus membuka laluan kepadanya beraksi bersama skuad kebangsaan.

Malah, TuckĀ  mengakui teruja untuk mengikut jejak pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh yang beraksi cemerlang membawa skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF bulan lalu.

Bagaimanapun, status pemain kelahiran England itu agak berbeza dengan Sumareh kerana dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia di mana neneknya berasal dari negara ini dan prosesnya lebih mudah.

Namun, sehingga kini keputusan sama ada pemain kelahiran England itu bakal mengikut jejak pemain terdahulu yang sudah menjadi pemain tempatan seperti pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies ( Pahang) dan Kiko Insa (Johor Darul Ta'zim) masih menjadi tanda tanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 5:42 PM