AKSI antara Perak dan KL City sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Perak dan KL City sebentar tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City (KL City) FC akhirnya melakar kemenangan selepas tewas dua perlawanan Liga Super sebelum ini apabila mudah meratah Perak FC dalam saingan yang berlangsung di Stadium Perak, sebentar tadi.

Kemenangan terbabit cukup bermakna buat Nenad Bacina bagi aksi Liga Super selepas pengendali dari Croatia itu sebelum ini sudah pun menikmatinya pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia berdepan Penang FC.

Pada aksi terbabit, KL City terpaksa menunggu sehingga minit ke-30 untuk memecah kebuntuan apabila penyudah Tchetche Kipre membolehkan pelawat mendahului 1-0.

Belum sempat Perak mencari rentak bagi memulakan babak kedua, mereka dibolosi gol kedua hanya seminit selepas rehat menerusi tandukan Sebastian Avanzini yang menyudahkan sepakan sudut Paulo Josue.

Josue yang bertindak sebagai perancang akhirnya mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-55 selepas pemain kebangsaan itu menanduk masuk hantaran lintang Kamal Azizi Zabri daripada sebelah sayap kanan KL City.

Sean Gianelli menambah derita tuan rumah dengan penyudah kemas di hadapan gol ketika masa sebenar berbaki tiga minit untuk membolehkan KL City terus selesa berkelebihan empat gol.

Selepas ini, Perak akan berdepan Negeri Sembilan di Paroi sementara KL City bakal melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 10:35 PM