PAULO Josue meraikan jaringan gol kedua pada perlawanan Piala AFC, KL City menentang Tampines Rovers di Stadium Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
PAULO Josue meraikan jaringan gol kedua pada perlawanan Piala AFC, KL City menentang Tampines Rovers di Stadium Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) mara ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan KL City menamatkan saingan Kumpulan H dengan empat mata untuk muncul naib juara terbaik daripada tiga kumpulan Zon Asean itu.

Untuk saingan kali ini, hanya juara daripada tiga kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke pusingan berikutnya.

Tuan rumah yang juga juara Piala Malaysia musim lalu mendahului aksi menerusi rembatan ketua pasukan Paulo Josue di minit ke-16 selepas memanfaatkan hantaran Akram Mahinan.

Josue terus mempamerkan ketajamannya apabila meledak gol kedua di minit 22 hasil hantaran lintang cantik Irfan Zakaria yang tepat menuju dada tonggak import Brazil itu sebelum dia pantas melepaskan rembatan untuk menewaskan Muhammad Syazwan Buhari di depan gawang.

Begitupun, kelekaaan pertahanan KL City di minit 37 menyaksikan penyerang lawan, Boris Kopitovic mudah menanduk masuk umpanan Andrew Aw untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Skuad The City Boys seharusnya mampu menambah gol di awal babak kedua namun percubaan Romel Morales tepat menuju ke dakapan Syazwan.

Hadin Azman turut berpeluang mencetak nama selaku penjaring tetapi penyudahnya agak mengecewakan biarpun gerakannya secara solo berjaya memperdaya pertahanan lawan di minit 63.

Tuah terus tidak menyebelahi tuan rumah apabila deretan peluang gagal disempurnakan sekaligus keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 10:09 PM