ANTARA aksi Penang FC dengan KL City. FOTO Asyraf Hamzah
ANTARA aksi Penang FC dengan KL City. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kebangkitan luar biasa diperagakan Penang FC apabila berjaya bangkit mengikat Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam tadi.

Biarpun mendahului dengan 2-0, KL City tampak goyah terutama pada 20 minit terakhir babak kedua apabila mudah membiarkan Penang FC meraih dua gol sekali gus menghampakan kem tuan rumah.

Begitupun individu paling hampa sudah tentunya ketua pasukan KL City, Paulo Josue yang meledak dua gol awal buat pasukannya sebelum kebangkitan mengejut pelawat di hubung babak kedua itu.

Malah, kedua-dua jaringan itu hadir pada hari yang cukup istimewa di mana dia kini sah bergelar pemain naturalisasi bagi membolehkan pemain kelahiran Brazil itu menyertai skuad Harimau Malaya mulai kem latihan negara Mac ini.

Namun dengan kegagalan membantu pasukan, sudah pasti Josue agak kecewa.

Dalam aksi itu, Penang FC terlebih dulu mengancam kubu tuan rumah menerusi percubaan leret Rahmat Makasuf di minit kelapan yang sekadar melintasi depan pintu gol KL City.

Sepakan percuma yang diberikan kepada skuad The City Boys di minit ke-14 digunakan sebaiknya oleh Josue untuk menggegar gawang pelawat.

Romel Morales turut berpeluang mencetak nama selaku penjaring di minit 23 namun tolakan pemain Colombia itu dihalang benteng pertahanan lawan.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Kumbang membuat beberapa perubahan dan hasilnya hampir menemui gol penyamaan namun tandukan Narcizo Adriano sedikit tersasar.

Josue sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila meledak gol kedua di minit 71 sebelum pelawat bangkit dengan dua gol masing-masing menerusi Hadin Azman di minit 73 dan Gomez da Silva minit 85.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 11:07 PM